Pilih Bahasa

Tiga bot asing ditahan, lakukan pelbagai kesalahan

Oleh Alfred Petrus

KUDAT: Tiga buah bot bersama 16 orang nelayan serta tekong warga Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), pada Khamis malam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata kesemua bot tersebut disyaki melanggar pelbagai jenis peraturan serta undang-undang Persekutuan dan undang-undang Negeri.

Salah satu bot nelayan asing yang ditahan bersama dengan nelayannya. Gambar SNT/Ihsan APMM

“16 nelayan beserta tekong adalah berusia antara 20 hingga 44 tahun ditahan dalam satu operasi khas di kedudukan sekitar lima Batu Nautika dari Pulau Tigabu, Kudat.

“Penahanan dibuat kerana tiada dokumen
pengenalan diri yang sah, dokumen pasport tidak mempunyai rekod pergerakan keluar masuk dari
Jabatan Imigresen Malaysia, melangkaui batas perairan.

“Selain itu, kesalahan gagal melaporkan pertukaran nakhoda
kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, tiada pelepasan pelabuhan (port clearance) dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta pelbagai kesalahan-kesalahan lain turut dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya dua buah bot yang ditahan memiliki nombor pendaftaran yang sama dan disyaki sebagai bot klon.

Bot yang diklon ini disyaki merupakan bot nelayan asing Vietnam yang cuba untuk mengaburi mata pihak berkuasa dengan menggunakan nombor pendaftaran tempatan serta mengibarkan bendera Malaysia.

Dalam pada itu, APMM mensyaki terdapat sindiket tertentu yang bertanggungjawab terhadap kegiatan jenayah terbabit.

APMM akan menjalankan siasatan secara terperinci dan menyeluruh bagi mengesan sindiket serta pelaku-pelaku jenayah berkenaan.

Sementara itu, kesemua bot dan nelayan ditahan dan diiring ke Jeti Awam Kudat dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk siasatan lanjut.

Jumlah rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM 1.7 juta.

Kes berkenaan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63, Akta Kastam 1967, Ordinan Perkapalan
Saudagar 1952 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002 atas pelbagai kesalahan.

Orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi Malaysian Emergency Respond System (MERS 999) atau Pusat Operasi Maritim Kudat di talian 088-611858 jika mempunyai sebarang maklumat berhubung jenayah atau kejadian kemalangan yang berlaku di perairan negara. -SabahNewsToday