Pilih Bahasa

Tiga bot nelayan asing ditahan, guna alat khas menangkap ikan

Oleh Mohd Adam Arinin

Kamaruszaman (kiri) dan Azhar menyoal siasat awak-awak yang ditahan APMM kerana melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa lesen di perairan negara. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Kapal Auksiliari Bunga Mas Lima (BM5) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya memintas tiga buah bot nelayan asing dipercayai dari Vietnam setelah dikesan melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa lesen dalam kawasan perairan negara, pada Selasa lalu.

Pengarah Maritim Sabah Laksamana Muda (M) Kamaruszaman Abu Hassan berkata ketiga-tiga bot terbabit kemudian diserahkan kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk tindakan lanjut. 

Penahanan ketiga-tiga bot di perairan Pulau Layang-Layang itu juga mengejutkan selepas pihak keselamatan menemukan beberapa alat yang dipercayai digunakan bagi menangkap ikan dengan cara mudah.

Kamaruszaman (tengah) dan Azhar (kanan) menunjukkan alat khas yang digunakan untuk menangkap ikan menggunakan kaedah renjatan elektrik pada sidang media di Jeti APMM, Sepanggar. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Semasa diperiksa, beberapa peralatan khas dipercayai digunakan untuk menangkap ikan menggunakan kaedah renjatan elektrik dijumpai. Penggunaan kaedah ini bukan sahaja menyalahi undang-undang malah mengancam ekosistem hidupan laut termasuk pertumbuhan batu karang.

“Jumlah berat hasil tangkapan pelbagai jenis ikan ini dianggarkan seberat 900 kilogram. Kemudian ketiga-tiga bot terbabit diserahkan kepada pihak Maritim Malaysia dan dibawa ke Jeti Maritim, di sini, untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media di Jeti APMM Kota Kinabalu, Sepanggar, di sini hari ini.

Turut hadir Asisten Ketua Staf Operasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kapten Azhar Bahrum.

Kapal Auksiliari Bunga Mas Lima (BM5) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika memintas salah sebuah daripada tiga bot nelayan asing di perairan Pulau Layang-Layang, Selasa lalu. – Gambar SNT/Ihsan Markas Pemerintahan Armada Timur

Menurut Kamaruszaman, seramai 33 awak-awak termasuk tiga tekong bot warganegara Vietnam yang ditahan berumur antara 16 dan 55 tahun.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 14(3)(b), Seksyen 15 dan 26 (1)(c) Akta Perikanan 1985.

Dalam pada itu, Kamaruszaman berkata Maritim Malaysia memandang serius isu pencerobohan yang dilakukan bot nelayan Vietnam di perairan Malaysia.

Kamaruszaman (kiri) Azhar pada sidang media di Jeti APMM, Sepanggar, hari ini. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kerakusan nelayan asing (Vietnam) dalam mengaut hasil laut negara tidak boleh lagi dipandang ringan dan ia harus diperangi dengan sewajarnya bagi menjamin pendapatan nelayan kita sendiri,” tambahnya.

Setakat tahun ini sebanyak enam buah bot nelayan asing dari Vietnam telah ditahan iaitu tiga di Zon Maritim Kudat dan tiga di Zon Maritim Kota Kinabalu.

“Saya juga mewakili pihak Maritim Malaysia merakamkan penghargaan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia khususnya Markas Pemerintahan Armada Timur di atas kejayaan dan kerjasama yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata kerjasama itu perlu dalam usaha memerangi pencerobohan bot nelayan asing dalam perairan negara yang telah menyebabkan kerugian mencecah nilai hampir RM8 bilion di samping menjaga keamanan dan kedaulatan negara. – SabahNewsToday