Pilih Bahasa

TIGA BOT PUKAT TUNDA DITAHAN POLIS MARIN KUDAT LANGGAR SYARAT LESEN

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Tiga bot nelayan pukat tunda dibawa ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kudat untuk tindakan lanjut. Gambar SNT/Ehsan PPM Kudat

KUDAT: Polis Marin Daerah menahan tiga bot pukat tunda sepanjang Op Gelora Khas, semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 6.30 petang itu, semua bot nelayan terbabit ditangkap berikutan menunda lebih kurang 2.9 batu nautika dari tanah besar.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah,  Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata pihaknya menerima maklumat awam berkenaan perlangggaran syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985 oleh bot nelayan daripada Kota Kinabalu di laut Sikuati Kudat.

Pasukan Polis Marin Kudat merampas sebanyak 140 kilogram ikan pelbagai jenis bernilai kira-kira RM2,000 daripada tiga bot pukat tunda dalam Op Gelora Khas, semalam. Gambar SNT/Ehsan PPM Wilayah 4 Sabah

Mohamad Pajeri berkata hasil pemeriksaan ke atas semua bot tunda berkenaan mendapati sebanyak 140 kilogram ikan pelbagai jenis berjaya dinaikkan oleh tiga bot berkenaan dengan nilai dianggarkan kira-kira RM2,000.

“Semua bot pukat tunda ini sudah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen menunda enam batu nautika daripada tanah besar.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikompaun antara RM500 hingga RM1,500 dan sekiranya kesalahan sama dilakukan kali keempat, 0Lesen Perikanan boleh dibatalkan oleh Jabatan Perikanan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Pajeri berkata tiga bot nelayan pukat tunda terbabit diiring ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kudat untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, beliau menasihatkan pengusaha nelayan komersial untuk tidak menjalankan aktiviti menunda ikan kurang daripada syarat lesen kerana ia mengganggu ekosistem dan nelayan pesisir pantai. -SabahNewsToday