Pilih Bahasa

Tiga dekad yang berjaya buat Raleigh Borneo

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Sejak 1987, Raleigh Borneo telah bekerjasama dengan lebih 6,000 belia dari seluruh dunia termasuk di Malaysia bagi melaksanakan kerja-kerja amal secara sukarela yang telah memberikan manfaat kepada lebih 30,000 penduduk luar bandar di Sabah.

Selama lebih dari tiga dekad itu,, Raleigh Borneo telah memberi tumpuan untuk menyediakan kemudahan seperti air bersih dan sanitasi, membangun daya tahan dalam masyarakat dan menyumbang kepada pemuliharaan, perlindungan dan penyelidikan.

Pengurus Program Raleigh Borneo, Adam J. Young berkata, sehingga kini sebanyak 71 ekspedisi dengan sebanyak 6,516 sukarelawan dari Malaysia dan di seluruh dunia mengambil bahagian dalam program Raleigh Antarabangsa di Sabah.

Sukarelawan antarabangsa, Raleigh International membawa batang paip untuk menyalurkan air bersih kepada penduduk di Kampung Mempakad, Pitas sewaktu ekspedisi sukarelawan yang digerakkan di pedalaman Sabah. Gambar SNT/Ehsan Daniel Buttifant/Raleigh International

Katanya, melalui projek itu, Raleigh Borneo telah mewujudkan perubahan mapan yang memberi kesan kepada 28,573 komuniti luar bandar, sembilan kawasan konservasi dan 25 kawasan pemuliharaan alam sekitar di negeri ini.

“Kami sangat berbangga dengan apa yang telah dicapai oleh Raleigh Borneo selama 31 tahun ini dengan kerjasama banyak organisasi dan masyarakat di Sabah,” ketika berucap dalam majlis penutupan Ekspedisi Raleigh Borneo di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kota Kinabalu, di sini semalam.

Pertubuhan sukarelawan antarabangsa, Raleigh International bergambar bersama sukarelawan tempatan Raleigh Borneo dan Raleigh Kuala Lumpur ketika melakukan ekspedisi di pedalaman Sabah. Gambar SNT/Ehsan Daniel Buttifant/Raleigh International

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan Negeri, Frankie Poon yang diwakili oleh Ketua Penolong Setiausaha Kementerian itu, Md. Jaidin Md. Yassin. Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Tengku Datuk Seri Dr. Zainal Adlin Tengku Mahamood.

Sukarelawan antarabangsa, Raleigh International bersama dengan sukarelawan tempatan Raleigh Borneo bergotong-royong menyiapkan sistem bekalan air bersih yang akan disalurkan kepada penduduk di Kampung Mempakad, Pitas sewaktu ekspedisi sukarelawan yang digerakkan di pedalaman Sabah. Gambar SNT/Ehsan Daniel Buttifant/Raleigh International

Adam berkata, menerusi projek kebersihan, air dan sanitasi (WASH) juga, seramai 16,039 penduduk daripada 70 komuniti luar bandar di Sabah telah mendapat manfaat hasil projek tersebut.

Katanya, paling bermakna apabila sukarelawan Raleigh Borneo berjaya membina sebanyak 22 tadika, sembilan pusat pembelajaran komuniti dan tujuh pusat komuniti untuk dimanfaatkan oleh seramai 12,534 penduduk luar bandar. – SabahNewsToday