Pilih Bahasa

Tiga diberkas bawa minuman keras import

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SANDAKAN: Tiga lelaki ditahan selepas didapati membawa 11 kotak berisi pelbagai minuman keras import tanpa sebarang dokumen, semalam.

Suspek berusia 19 hingga 49 tahun itu ditahan pukul 6.30 petang menerusi pemeriksaan yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 16 Sandakan di Jalan Sapi Nagoh.

Lori dinaiki suspek ditahan dalam satu pemeriksaan di jalan Sapi Nagoh Sandakan. Gambar SNT / Ihsan PGA Sandakan

Pegawai Memerintahnya, Superintendan Toipi Lamat berkata sebelum kejadian tiga lelaki itu sedang menaiki sebuah lori kargo dan cuba melalui laluan pemeriksaan terbabit.

“Anggota bertugas kemudiannya menahan lori berkenaan untuk membuat pemeriksaan dan menemukan 11 kotak berisi pelbagai jenis minuman keras.

“Suspek turut gagal mengemukakan dokumen kebenaran membawa barangan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kotak berisi minuman keras yang dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 16 Sandakan. Gambar SNT / Ihsan PGA

Beliau berkata semua suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” jelasnya. – SabahNewsToday