Pilih Bahasa

Tiga kaki kanak-kanak putus ditemui di Sepanggar

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Tiga kaki manusia putus dipercayai kaki kanak-kanak berusia dua hingga tiga tahun ditemui di belakang sebuah bengkel lori dekat Pelabuhan Sepanggar, di sini, kelmarin.

Perkara itu disedari seorang pekerja bengkel terbabit apabila melihat beberapa ekor anjing sedang bermain sambil menggigit kaki-kaki yang mereput, jam 6 petang.

Tiga kaki putus dipercayai kaki kanak-kanak berusia dua hingga tiga tahun ditemui di sebuah bengkel lori berhampiran Pelabuhan Sepanggar kelmarin. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata bertindak atas aduan itu, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian untuk siasatan dan pemeriksaan lanjut.

“Sebaik tiba di lokasi itu, sepasukan yang menjalankan pemeriksaan menemui tiga kaki putus itu di bahagian belakang sebuah bengkel lori.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada kesan kena potong dan hanyalah kesan gigitan yang dipercayai gigitan binatang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata pemeriksaan lanjut berhampiran lokasi penemuan tapak kaki itu, tidak menemui sebarang badan atau fizikal lain.

Lokasi di mana ketiga kaki putus terbabit ditemui kelmarin. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

“Ia menjadi tanda tanya sama ada ia milik kanak-kanak hilang atau kanak-kanak yang dikebumikan sebelum ini yang dikhuatiri digali oleh anjing sebelum membawa tapak kaki itu ke kawasan bengkel berkenaan.

“Siasatan masih dijalankan oleh pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan dibantu oleh pasukan Forensik termasuk anjing K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, Habibi meminta orang ramai yang tinggal lokasi berhampiran yang ada kehilangan anak atau sebelum pernah mengebumikan kanak-kanak mereka supaya memaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Polis akan melakukan siasatan daripada semua aspek bagi mengenal pasti identiti milik tapak kaki itu.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – SabahNewsToday