Pilih Bahasa

TIGA LELAKI DICARI BAGI MEMBANTU SIASATAN KES BUNUH, ROGOL DAN SEKS LUAR TABII

Oleh Mohd Adam Arinin

DIKEHENDAKI … (dari kiri) Dainis Sitim, Sisal Benigno dan Lajin Pilong. Gambar SNT/Ehsan IPD Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Polis kini sedang mencari tiga lelaki bagi membantu siasatan dalam kes berkaitan bunuh, rogol dan seks luar tabii.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata dua daripada lelaki itu adalah warga tempatan manakala seorang bermastautin tetap.

Katanya, suspek pertama, Sisal Benigno berumur 41 tahun menjadi buruan polis bagi membantu siasatan satu kes bunuh di daerah ini pada Februari tahun lepas yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji menunjukkan suspek kes bunuh, Sisal Benigno, 41, yang dikehendaki pihak polis pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan IPD Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Manakala, suspek kedua dikenali sebagai Dainis Sitim, 38, dicari polis bagi tiga kes termasuk rogol dan seks luar tabii pada Julai 2016 yang disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 376 (3) serta Seksyen 377 (C) (A) Kanun Keseksaan.

Seorang lagi suspek bernama Lajin Pilong, 57, dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes seks luar tabii pada Mac 2017 yang disiasat mengikut Seksyen 377 (E) Kanun Keseksaan.

“Ketiga-tiga suspek kita senaraikan dalam orang dikehendaki bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Februari 2019 di IPD Kota Kinabalu, hari ini.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan ketiga-tiga suspek ini boleh menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian Hotline 088-221191 / 529211 atau ke balai polis berdekatan,” katanya. -SabahNewsToday