Pilih Bahasa

Tiga lelaki ditahan cuba seludup keluar barang kawalan ke Indonesia

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan tiga lelaki termasuk seorang warganegara Indonesia dipercayai cuba menyeludup keluar enam tong gas petroleum cecair (LPG) dan 120 kilogram (KG) gula melalui perairan laut daerah ini, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata pihaknya menahan bot masing-masing dinaiki tiga suspek berusia 33 hingga 63 tahun melalui Operasi Bersepadu PPM bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), sekitar pukul 9 pagi hingga 3.30 petang.

Barangan kawalan dirampas dan dibawa ke Pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) untuk tindakan lanjut. Gambar SNT / Ihsan PPM Tawau

“Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga bot berkenaan membawa enam tong gas lpg, dan 120kg gula.

“Kita percaya barangan kawalan berkenaan cuba diseludup keluar ke negara Indonesia.

“Suspek turut gagal menunjukkan permit atau surat kelulusan daripada pihak KPDNHEP terhadap semua barangan kawalan yang dibawa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara bot yang ditahan dipercayai cuba menyeludup barang kawalan ke negara Indonesia. Gambar SNT / Ihsan PPM Tawau

Beliau berkata semua barang kawalan termasuk tiga bot serta enjin sangkut bernilai RM68,260 dirampas dan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – SabahNewsToday