Pilih Bahasa

Tiga lelaki ditahan curi kabel untuk tembaga

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Seorang lelaki bukan setakat memiliki lapan rekod lampau berkaitan dadah, pecah rumah dan tipu, tetapi dia turut ditahan bersama dua lagi rakannya kerana terbabit curi kabel milik Telekom Malaysia.

Suspek berusia 25 tahun dan dua rakan sejenayah berusia 27 dan 31 tahun ditahan di tiga lokasi berasingan di sekitar bandar raya ini, kelmarin.

Kabel dan peralatan mencuri kabel yang dirampas selepas tiga lelaki ditahan keran terbabit curi kabel.-Gambar SNT/Ihsan Polis

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata tangkapan itu susulan laporan polis dibuat oleh kakitangan TM selepas kabel di Jalan Bunga Raya, Kepayan, di sini dipotong disyaki dicuri, pada 30 April lalu.

“Bertindak atas maklumat, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek pertama di tepi Jalan Jaguh, Kampung Bunga Raya, jam 5.30 petang, kelmarin.

“Soal siasat ke atas suspek itu, membawa kepada penahanan dua lagi lelaki disyaki terbabit dengan kes curi kabel berkenaan di kawasan Tanjung Aru, pada hari yang sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata hasil tangkapan tiga suspek, polis merampas plastik mengandungi tembaga hampir tujuh kilogram dan beberapa peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel.

Tembaga yang disyaki dicuri oleh suspek. Gambar SNT/Ihsan Polis

“Siasatan mendapati, suspek pertama mempunyai lapan rekod jenayah lampau berkaitan narkotik, pecah rumah dan tipu.

“Polis juga sedang giat mengesan dua lagi lelaki disyaki terbabit melakukan curi kabel bersama tiga suspek terbabit,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 431(a) Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan khianat dengan membencanakan kabel. – SabahNewsToday