Pilih Bahasa

Tiga lelaki ditahan, rampas 500 karton minuman keras

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA MARUDU: Seorang pengurus restoran dan dua pekerjanya ditahan bersama 500 karton minuman keras dalam operasi bersepadu Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Kastam di One Marudu Commercial Centre, di sini hari ini.

Dalam operasi jam 12 tengah hari itu, pengurus lelaki berusia 63 dan dua lagi berusia 18 dan 19 tahun ditahan kerana terbabit dalam kegiatan menjual dan membekalkan minuman keras tidak cukai kepada orang ramai.

Rampasan minuman keras seludup dalam operasi bersama PPM dan Jabatan Kastam di Kota Marudu. Gambar SNT/Ihsan PPM

Komander PPM Wilayah Empat Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata operasi dijalankan berdasarkan kepada maklumat Unit Risik Marin (URM).

Katanya premis restoran yang beroperasi di One Marudu Commercial Centre itu didapati menjual minuman keras yang tidak bercukai dan berlesen.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan berjaya menemui sejumlah 500 kartun minuman keras yang melanggar undang-undang di restoran dan stor simpanan premis berkenaan.

“Antara yang dirampas adalah minuman alkohol pelbagai jenama dan barangan peribadi milik ketiga-tiga suspek terbabit,” katanya menerusi kenyataan media.

Mohamad Pajeri berkata semua barang rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut.

“Anggaran nilai minuman termasuk cukai berserta barangan peribadi milik suspek yang dirampas berjumlah RM105,544.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d), Akta Kastam 1967 dan Seksyen 76 Akta Eksais 1976,” katanya. -SabahNewsToday