Pilih Bahasa

Tiga lelaki tempatan ditahan bawa barang kawalan tanpa permit

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan tiga lelaki tempatan termasuk seorang juragan selepas didapati membawa keluar barang kawalan tanpa sebarang permit daripada pihak berkuasa di perairan laut Mataking, semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, anggota PPM yang sedang menjalankan tugas rondaan mendapati suspek berusia dalam lingkungan 15 hingga 60 tahun bergerak menaiki bot dalam keadaan mencurigakan.

Suspek gagal menunjukkan permit kebenaran membawa keluar barang kawalan. Gambar SNT/ Ihsan PPM Semporna

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata pihaknya kemudian memintas bot berkenaan namun pelbagai alasan yang diberikan juragan dan dua penumpang berkenaan.

“Anggota PPM menyoal lokasi yang hendak dituju namun ketika-tiga suspek memberitahu hala tuju yang tidak menentu dan mencurigakan,” katanya dalam kenyataan medianya, di sini.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot menjumpai barang kawalan iaitu tiga tong berisi 75 liter petrol dan 85 bungkus minyak masak.

“Turut ditemukan tiga kotak belacan dan 30 bungkus ubi kayu putu,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Ketiga-tiga suspek ditahan di perairan laut Mataking. Gambar SNT / Ihsan PPM Semporna

Beliau berkata jurangan terbabit gagal menunjukkan permit atau dokumen kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas semua barang kawalan yang dibawa.

“Ketiga-tiga suspek dan semua barang rampasan tanpa permit termasuk bot dan enjin dibawa ke pangkalan PPM Semporna untuk tindakan selanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM4,812 dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama peraturan-peraturan kawalan bekalan,” katanya. –SabahNewsToday