Pilih Bahasa

Tiga maut, tiga parah kemalangan di Papar

Oleh Junaidi Ladjana

PAPAR: Tiga maut, tiga parah dan seorang cedera ringan apabila dua kenderaan bertembung di Kampung Tuntul, Jalan Pan Borneo, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, kemalangan membabitkan kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dan Mitsubishi Pajero Sport.

Keadaan dua kenderaan yang bertembung hingga mengorbankan tiga mangsa dalam kemalangan di Jalan Pan Borneo, Papar.-Gambar SNT/Ihsan Bomba

Tiga lelaki yang maut daripada kenderaan Ford Ranger manakala dua lagi lelaki di kenderaan berkenaan masing-masing parah dan cedera ringan.

Dua lagi mangsa parah pasangan suami isteri daripada kenderaan Mitsubishi Pajero.

Identiti semua mangsa belum dapat dikenal pasti semasa berita ini ditulis.

Difahamkan, semua mangsa di kenderaan Ford Ranger baru pulang dari majlis kahwin.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.40 malam.

Anggota bomba membawa keluar salah seorang mangsa daripada kenderaan Ford Ranger.-Gambar SNT/Ihsan Bomba

Menurutnya, bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, diketuai Pegawai Bomba Kanan II Sulaiman Menin bersama sembilan anggota menggunakan sebuah jentera dan sebuah EMRS bergegas ke lokasi kejadian.

“Menurut komander operasi, kemalangan membabitkan kenderaan jenis Mitsubishi Pajero Sport dan Ford Ranger yang dipercayai bertembung.

Keadaan kedua buah kenderaan yang remuk selepas pertembungan di Jalan Pan Borneo, di sini malam tadi.-Gambar SNT/Ihsan Bomba

“Terdapat tujuh mangsa terbabit dan berjaya dikeluarkan dan tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya lagi mangsa yang parah dan cedera ringan diberi rawatan awal oleh anggota EMRS sebelum diserahkan kepada pegawai perubatan untuk tindakan susulan.

“Tiga mangsa parah dan seorang cedera ringan dihantar ke Hospital Papar menggunakan Kenderaan EMRS dan ambulans.

“Pasukan bomba seterusnya membuat pemeriksaan keselamatan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada bahaya lain,” katanya.

Tambahnya, operasi menyelamat tamat jam 10.24 malam tadi. – SabahNewsToday