Pilih Bahasa

Tiga kembar seiras buang undi curi tumpuan

Oleh Junaidi Ladjana

Kembar seiras Zaki, Zakaria dan Zaidi Mahamud mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Our Lady of Fatima. – Gambar SNT/Junadi Ladjana

KIMANIS: Tiga kembar seiras mencuri tumpuan ketika hadir membuang undi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu Enam Kalatuan di sini, pagi ini.

Tiga beradik itu Zaki, Zakaria dan Zaidi Mahamud yang berusia 33 tahun itu berkongsi pengalaman turun mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Our Lady of Fatima. 

Zaki berkata mereka tiba di PDM seawal pukul 9.15 pagi dan amat bersyukur keadaan cuaca yang baik memandangkan semalam hujan lebat di daerah berkenaan.

“Cuaca hari ini amat baik, malah kami tidak lama untuk menunggu.. semuanya lancar dan teratur.

“Semua okey, dari pihak polis dari pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semua bagi kerjasama tiada masalah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut tiga beradik itu, mereka sudah biasa dengan soal kekeliruan disebabkan memiliki muka yang seiras.

Jelas mereka lagi pengalaman itu sudah biasa dilalui terutama dalam kalangan penduduk kampung berkenaan.

“Kalau budak baharu, orang baharu kena tegur jugalah,” katanya. 

Lokasi PDM Batu Enam Kalatuan itu turut menyaksikan calon Barisan Nasional )BN), Datuk Mohamad Alamin membuang undi yang pada pukul 9 pagi.

Seramai 2,300 pengundi dijadualkan menunaikan tanggungjawab mereka di PDM berkenaan yang melibatkan lima buah saluran mengundi. – SabahNewstoday