Pilih Bahasa

Tiga pemancing dikhuatiri hilang

Oleh Junaidi Ladjana

LABUAN: Tiga pemancing dikhuatiri hilang di perairan Lawas, selepas keluar memancing, pagi semalam.

Mereka iaitu Faruk Arina Ahmad, 29, bersama dua rakannya Mohd Amirul Bakar, 26 dan Yee Chon Tiong, 30, dipercayai keluar memancing di sekitar Pulau Sari, kira-kira jam 5 pagi, semalam dan sepatutnya pulang petang hari yang sama.

Tiga pemancing yang dikhuatiri hilang ketika keluar memancing di perairan Lawas, semalam. Gambar SNT/Ihsan MARITIM MALAYSIA

Susulan itu, isteri kepada Faruk kemudian membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana bimbang keselamatan suami dan rakan suaminya.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Labuan, Kepten Maritim Che Adnan Md Isa berkata, sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu, Maritim Malaysia Labuan mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 12.20 tengah malam tadi dan usaha menyelamat digerakkan pagi tadi.

“Menurut keterangan daripada isteri salah seorang pemancing, suaminya keluar ke laut untuk memancing di sekitar Pulau Sari, bersama dua rakannya pagi semalam dan dijangka pulang 6 petang dengan menggunakan bot jenis fiber warna kuning dan oren.

“Operasi SAR sudah diaktifkan dan kejadian itu turut dimaklumkan kepada agensi sahabat dan juga Polis Marin Diraja Brunei bagi membantu dalam SAR ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, agensi sahabat yang terbabit adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam.

“Maritim Malaysia Zon Labuan mengambil berat akan isu keselamatan di laut yang membabitkan pemancing bot kecil dan bot-bot nelayan.

“Oleh itu, komuniti maritim disaran untuk sentiasa memakai jaket keselamatan ketika berada di laut. Mereka juga diminta supaya mengambil kira keupayaan dan saiz bot dalam menentukan jarak dan kawasan untuk memancing,” jelasnya. -SabahNewsToday