Pilih Bahasa

Tiga pemancing hilang (UPDATED) Mayat kedua mangsa hilang di laut ditemui

Oleh Junaidi Ladjana

LAWAS: Mayat seorang lagi lelaki yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing di kawasan Pulau Sari, di sini, Isnin lalu ditemui lemas malam tadi.

Mayat Farouk Arlan Ahmad Sabri, 29, ditemui kira-kira jam 11.30 malam oleh pasukan sukarelawan bomba dan penduduk kampung.

Mayat mangaa kedua ditemui di pesisir pantai Pulau Sari. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superintendan Roslan Leman berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 450 meter daripada mayat mangsa pertama yang dijumpai pagi semalam.

“Usaha pencarian mangsa ketiga masih lagi dijalankan,” katanya di sini, hari ini.

Difahamkan, operasi SAR yang ditangguh semalam, disambung semula jam 7 pagi tadi.

Operasi SAR membabitkan pelbagai agensi iaitu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Pasukan mencari dan penyelamat mengangkat mayat mangsa kedua yang ditemui di pesisir pantai Pulau Sari. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Pada Isnin lalu, tiga pemancing lelaki dilaporkan hilang selepas mereka keluar memancing pada jam 5 pagi di kawasan Pulau Sari.

Operasi SAR yang diaktifkan kemudian menemui mayat mangsa pertama iaitu Yeu Chee Ting, 30, di Sungai Labi-Labi, jam 8.35 pagi semalam. -SabahNewsToday