Pilih Bahasa

Tiga pemandu mabuk ditahan polis

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Tiga individu ditahan selepas didapati memandu dalam keadaan mabuk akibat pengaruh alkohol dalam Op Mabuk di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini, awal pagi tadi.

Ketiga-tiga mereka ini ditahan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, bermula jam 1.30 pagi.

Ujian nafas dilakukan semasa Op Mabuk semalam. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, seramai 25 pemandu diperiksa melalui ujian nafas dengan menggunakan alat ‘Screening Device II’ (SDII) dan lima ditahan selepas gagal ujian berkenaan.

“Mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Trafik Kota Kinabalu untuk pemeriksaan lanjut termasuk ujian pernafasan kedua menggunakan mesin Evidential Breath Analyzer II (EBA II) untuk mengesahkan kandungan alkohol dalam badan.

Habibi (tengah) – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Hasil analisa mendapati tiga positif melebihi paras alkohol dalam darah dan mereka disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Habibi berkata dalam operasi yang sama, polis turut mengeluarkan sebanyak sembilan keping saman atas pelbagai kesalahan.

“Kenderaan yang paling tinggi disaman adalah motosikal iaitu sebanyak tujuh saman.

Polis menjalankan pemeriksaan. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

“Penguatkuasaan akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan pemandu mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas,” katanya.

Operasi yang berakhir pada jam 4.30 pagi itu disertai seorang pegawai dan 14 anggota. -SabahNewsToday