Pilih Bahasa

Tiga sekawan dicekup bersama rokok seludup, tembakau salak

LAHAD DATU, 24 Okt — Polis merampas 1,995 karton rokok seludup pelbagai jenama serta 880 bungkus tembakau salak selepas menahan tiga sekawan, termasuk dua warga asing, di Jalan Silam, Simpang Kampung Sepagaya di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun dan seorang warga asing 32 tahun ditahan dalam sebuah kereta yang penuh muatan bungkusan rokok yang lari daripada cukai, dipercayai dalam perjalanan ke Bandar Lahad Datu dari Tawau pada kira-kira pukul 10.30 malam.

“Seorang lagi warga asing berusia 34 tahun ditahan dalam sebuah kereta lain, yang juga penuh dengan rokok seludup serta tembakau salak,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Beliau berkata kesemua rokok itu dianggarkan bernilai RM100,000 dan dipercayai diseludup masuk dari negara jiran ke Tawau untuk dijual di pasaran tempatan.

Katanya, keseluruhan rampasan rokok, tembakau salak serta dua kenderaan itu dianggarkan bernilai RM160,000 dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

— BERNAMA