Pilih Bahasa

Tiga sesak nafas dalam kebakaran di Tamparuli

Oleh Junaidi Ladjana

TAMPARULI: Tiga individu mengalami sesak nafas selepas terhidu asap tebal dalam kebakaran membabitkan dua lot kedai dan sebuah kedai runcit di Pekan Tamparuli, petang tadi.

Asap tebal keluar dari kedai runcit yang terbakar di Jalan Padang, Pekan Tamparuli petang tadi. Gambar SNT/Sumber media sosial

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 4.50 petang dan tiga jentera, satu lori tangki serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran berkenaan.

“Kebakaran membabitkan kedai runcit Ai Sing Baru dua tingkat dengan anggaran 90 peratus terbakar di tingkat bawah.

Api kelihatan dari kedai runcit yang terbakar di Jalan Padang, Pekan Tamparuli petang tadi. Gambar SNT/Sumber media sosial

“Kebakaran turut membabitkan dua lot kedai sebelah kiri dan kanan yang terbakar hanya lima peratus,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kejadian itu juga menyebabkan seorang lelaki dan wanita berusia 50 dan 54 tahun mengalami sesak nafas dan dihantar ke Hospital Tuaran.

Pasukan bomba bertindak mengawal api daripada merebak. Gambar SNT/Ihsan Bomba

“Seorang lagi individu yang tidak dikenal pasti turut mengalami sesak nafas dan dihantar ke hospital sama oleh orang awam.

“Keadaan semua mangsa dilaporkan stabil dan kebakaran dapat dikawal jam 5.50 petang dan operasi tamat sepenuhnya dua jam kemudian,” katanya.

Seorang anggota bomba sedang memastikan bara api dipadamkan sepenuhnya. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Terdahulu, operasi memadam kebakaran membabitkan seramai 20 anggota yang diketuai oleh Ketua Zon 1 JBPM Sabah, Penguasa Bomba Kanan I Hamsa Isnurdini.-SabahNewsToday