Pilih Bahasa

Tindakan diteruskan terhadap penyebar berita palsu Covid-19: PDRM

Oleh Junaidi Ladjana

Mazlan (tengah) menyaksikan majlis upacara Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis Sabah antara Omar (kiri) dengan Zaini (kanan) di IPK Sabah Kepayan, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Tindakan undang-undang dan pendakwaan di mahkamah akan terus dijalankan kepada individu yang membuat berita palsu khususnya berkenaan isu penularan penyakit novel koronavirus atau Covid-19.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata pihaknya yakin penguatkuasaan undang-undang berkesan bagi mengelak penularan berita palsu mengenai Covid-19.

Katanya tindakan tegas itu yang dikenakan terhadap pesalah dalam isu Covid-19 diharap dapat menyedarkan ramai pihak.

“Tiada lagi arahan nasihat dan kita semua tahu akibat penyebaran berita yang tidak benar. Tidak perlu lagi nasihat, itulah sahaja tindakan undang-undang khususnya tindakan pendakwaan di mahkamah.

“Setakat ini ada nampak keberkesanan dari sudut kekurangan berita-berita ini. Saya percaya jika trend ini diteruskan maka kita ingin menyemai satu sikap masyarakat kita yang takut dengan undang-undang yang tidak ingin menjejaskan ketenteraman awam dengan penularan berita tidak benar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Upacara Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis Sabah antara Datuk Omar Mammah dengan Datuk Zaini Jass di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan di sini, hari ini.

Omar yang bersara wajib mulai esok digantikan oleh Zaini yang sebelum ini menyandang Timbalan Ketua Polis Sabah.

Mengulas lanjut perkara itu, Mazlan berkata tiada kes terbaru direkodkan setakat ini berhubung penyebaran berita tidak sahih Covid-19. 

“Kita masih tunggu baki 13 siasatan yang kita buat, Insyallah kita masih tunggu daripada pihak pendakwaan. Setakat ini tidak ada kes baharu,” katanya. 

Untuk rekod, jumlah kertas siasatan yang dibuka berhubung penyebaran berita tidak sahih mengenai Covid-19 masih kekal kepada 13 kes dengan membabitkan tiga pertuduhan di mahkamah termasuk satu di Sabah. – SabahNewsToday