Pilih Bahasa

Tindakan tegas terhadap operator menyelam cabul dua pelancong wanita

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar akan mengambil tindakan tegas terhadap operator menyelam skuba di Semporna sekiranya tuduhan mencabul dua pelancong wanita dari China oleh salah seorang pengajarnya terbukti benar.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata beliau telah mengarahkan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Ken Pan Ying On untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap syarikat itu selepas dua wanita berkenaan mendakwa mereka telah dicabul.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai.

“Tingkah laku seperti itu tidak boleh diterima, justeru jika terbukti dakwaan terhadap kakitangan operator skuba itu betul kita akan mengambil tindakan tegas kerana perbuatan itu telah mencalar imej negeri.

“Kita sepatutnya berbangga dengan Sabah terutama Semporna dengan reputasinya sebagai tempat menyelam yang menjadi tumpuan dunia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mega Dive 3.0 dan Hari Terbuka Regatta ke-9 2019 anjuran Tentara Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian membabitkan dua wanita dari Shenzhen, China yang mendakwa mereka dicabul oleh pengajar selaman semasa melakukan aktiviti menyelam di Semporna pada Mac lalu.

Difahamkan kedua-dua pelancong wanita itu telah disyorkan kepada pengajar menyelam itu oleh sebuah agensi pelancongan tempatan.

Dalam kejadian itu difahamkan salah seorang pelancong mendakwa bahawa pengajar selaman terus memegang tangannya dan kemudian menyentuh punggungnya seperti yang ditunjukkan dalam video dan gambar yang dipaparkan di laman media sosial.

Kedua-dua wanita melaporkan kejadian itu kepada agensi pelancongan yang menjalankan siasatan.

Bagaimanapun kedua-dua pihak kemudian memutuskan untuk menyelesaikan perkara tersebut dengan bayaran pampasan berjumlah RM1,841, namun kedua-dua wanita mendakwa mereka tidak menerima wang pampasan sekembalinya ke China. – SabahNewsToday