Pilih Bahasa

Tindakan terhadap warga asing borong hasil petani – Pegawai Daerah

KENINGAU, 14 Ogos (Bernama) – Warga asing yang melanggar undang-undang kerana menjalankan perniagaan memborong hasil pertanian pekebun di ladang akan diambil tindakan, kata Pegawai Daerah Keningau Yusop  Osman.

Justeru, beliau menggesa jabatan pertanian di kawasan itu supaya bertindak menghentikan aktiviti itu serta-merta.

“…dan jabatan (pertanian kawasan) sepatutnya menyedari aktiviti tidak sihat itu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Yusop mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Junz Wong baru-baru ini yang melahirkan kebimbangan mengenai rungutan Persatuan Pekebun-Pekebun Kecil Pedalaman Sabah (PEKEBUN) mengenai penglibatan warga asing  dalam urus niaga itu.

Junz dalam kenyataannya itu berkata beliau akan menyiasat rungutan persatuan itu serta meminta semua petani dan pekebun berhenti membekalkan hasil pertanian kepada pemborong warga asing yang menjalankan perniagaan secara tidak sah.

Menurut Yusop pejabatnya akan mendaftarkan  semua peniaga yang terlibat dalam aktiviti memborong hasil pertanian bagi memastikan hanya warganegra Malaysia yang memiliki lesen perniagaan sahaja menjalankan aktiviti itu.

Sementara itu Majlis Daerah Keningau (MDK) sudah memutuskan menjadikan kawasan lapang Tamu Ground Keningau (TGK) sebagai lokasi pusat aktiviti pemborong dan pengambilan sayur-sayuran oleh penjaja pasar malam.

Pegawai Eksekutif MDK Mohd Rafik Jubar melalui surat pekeliling kepada  Persatuan Usahawan Orang Asal Sabah (PUOS) memaklumkan bahawa masa memborong bermula dari pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Katanya, kesemua pemborong sayur-sayuran perlu mendaftarkan diri  di MDK dengan menghantar salinan dokumen pengenalan diri (MyKad) dan sekeping gambar berukuran pasport.

— BERNAMA