Pilih Bahasa

Tinggalkan Upko, K’jaan Negeri sebab rakyat perlukan pembelaan K’jaan Pusat- James Ratib

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sugut menegaskan pendiriannya meninggalkan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) adalah disebabkan rakyat Sabah masih memerlukan pembelaan dan pembangunan daripada kerajaan pusat.

Beliau berkata tuduhan kononnya tindakan keluar Upko adalah kerana kepentingan peribadi kerana mendapat manfaat daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah adalah tidak benar dan hanya andaian yang sangat tidak berasas.

Datuk James Ratib. Gambar Fail SNT

“Kini kerajaan negeri yang diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan) kini tidak lagi sehaluan dengan kerajaan pusat sehingga menyebabkan rakyat Sabah sukar mendapat manfaat daripada projek pembangunan daripada kerajaan persekutuan.

“Oleh itu adalah wajar tindakan saya bersama Adun Kuala Penyu, Datuk Limus Jury meninggalkan Upko dan menyokong Perikatan Nasional (PN) demi kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata parti itu sudah tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan pimpinan PN dan menambah kata tidak wajar beliau dan rakan-rakannya terus bersama dengan kerajaan negeri yang menjadi pembangkang di peringkat Persekutuan.

James berkata beliau mengambil keputusan keluar Upko, yang disertainya sejak dua tahun lalu, berikutan kerajaan negeri pimpinan Warisan kini tidak sehaluan dengan kerajaan PN.

“Saya yakin kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh membawa perubahan landskap politik negara dan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Dr. Yusof Yacob yang mendakwa tindakan mereka keluar parti hanya kerana kepentingan peribadi kerana mendapat manfaat projek daripada kerajaam persekutuan.

James berkata dakwan kononnya mereka mendapat tekanan daripada kerajaan pusat sehingga meninggalkan Upko yang telah bersama Warisan membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum lepas adalah tidak benar sama sekali.

“Jelas bahawa kami meninggalkan Upko kerana kerajaan Sabah tidak lagi sehaluan dengan kerajaan persekutuan… dan kita mahu rakyat dapat pembelaan daripada kerajaan persekutuan,” tegasnya.-SabahNewsToday