Pilih Bahasa

Tingkat keselamatan ICT agensi kerajaan dan swasta, bendung serangan siber

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Mohammad (empat dari kanan) bersama tetamu jemputan dan peserta seminar sempena Seminar ICT (SEMIT) Peringkat Negeri 2019 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Semua agensi kerajaan serta swasta diminta meningkatkan keselamatan komunikasi teknologi maklumat (ICT) dalam usaha membendung serangan jenayah siber di negeri ini.

Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob berkata salah satu langkah drastik yang boleh diambil untuk membendung masalah terbabit adalah melalui penganjuran kempen kesedaran berkaitan keselamatan ICT dalam kalangan organisasi, orang awam mahupun keluarga.

Yusof berkata lebih 10,000 serangan keselamatan siber ke atas syarikat atau individu seluruh negara direkodkan sepanjang tahun lalu menurut Malaysia Computer Emergency Response Team atau MyCERT di bawah CyberSecurity Malaysia.

“Selain itu, mengikut statistik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 10,753 kes membabit jenayah siber melibatkan kerugian kira-kira RM398.6 juta berlaku pada tahun sama.

“Situasi ini jelas menunjukkan masalah  keselamatan ICT di negara ini sangat kritikal dan tidak boleh diambil mudah.

“Perancangan rapi dan teliti perlu dibuat agar pengguna aplikasi mahupun perkakasan keselamatan ICT dapat menyumbang peningkatan kecekapan agensi masing-masing, memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan serta mengelakan pembaziran yang berpunca dari jenayah siber,” katanya.

Mohammad (empat dari kanan) menerima cenderamata sempena Seminar ICT (SEMIT) Peringkat Negeri 2019 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Perasmian Seminar ICT (SEMIT) Peringkat Negeri 2019 di sini, hari ini.Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menterinya, Mohammad Mohamarin.

Yang turut hadir Dekan Fakulti Komputeran dan Infomatik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Abdullah Gani mewakili Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin dan Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Sabah, Datuk Mohd Shuhaili Mohd Taufek.

Memasuki penganjuran kali ke 12, seminar berkenaan disertai kira-kira 200 peserta terdiri dari kakitangan awam dan swasta.

Dalam pada itu, Yusof berkata seminar seumpama itu sangat signifikan kepada rakyat serta negeri dalam langkah memacu kemajuan Sabah selain mencetuskan dimensi baru khususnya bidang ICT.

“Masyarakat juga perlu mengaplikasi, menguasai dan membudayakan aspek-aspek keselamatan dalam kehidupan seharian agar dapat bersama menghindari jenayah siber dari terus berleluasa,” katanya. – SabahNews Today