Pilih Bahasa

TINGKATKAN AKTIVITI HILIRAN, PENUHI KEHENDAK INDUSTRI KAYU SABAH – SHAFIE

Oleh Alfred Petrus

Shafie (kiri) mendengar taklimat sedikit sebanyak berkenaan industri hiliran oleh pemain industri tempatan. Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan terus berusaha mempertingkatkan aktiviti hiliran bagi memenuhi kehendak pemain industri perkayuan Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata industri perkayuan Sabah mempunyai potensi besar dalam mengeluarkan produk akhir bermutu tinggi seterusnya mampu dieksport ke luar negara jika ia diurus tadbir dengan lebih cekap.

Namun, jelasnya ia mengambil masa dan bukannya sekelip mata untuk membangunkan industri berkenaan.

“Kita mempunyai potensi dalam industri ini tetapi masalahnya adalah bekalan kayu yang tidak mencukupi oleh mereka (industri) kerana terpaksa membeli kayu dari Semenanjung.

Shafie (kiri) melawat salah sebuah kilang pembuatan berasaskan kayu seperti pintu. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Kita tahu, Sabah mempunyai banyak bekalan kayu balak dengan pelbagai jenis kayunya yang berkualiti, tetapi ianya dieksoprt ke luar negara sebelum ini.

“Ini merupakan satu usaha yang kita perlu pertingkatkan kerana bukan hanya boleh meletakkan negeri sabah sebagai satu negeri yang mengeluarkan produk berasaskan kayu tetapi juga memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan,” katanya.

Beiau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerjanya ke dua buah
syarikat perindustrian kayu utama Sabah di sini pada Khamis.

Shafie (kanan) melihat sendiri proses penghasilan pintu yang berkualiti tempatan di kilang tersebut. Gambar SNT/Alfred Petrus

Jelasnya terdapat kilang-kilang tempatan yang telahpun mengeksport produk mereka ke luar negara seperti Maldives dan seumpamanya.

Mohd Shafie berkata dengan menghentikan aktiviti eksport kayu balak mampu membangunkan industri hiliran dalam negeri seterusnya menyumbang kepada ekonomi Sabah.

“Aktiviti eksport kayu balak sebelum ini sememangnya mempunyai permintaan tinggi dan kerajaan negeri mendapat hasil royalti tersebut.

“Tetapi jangan hanya lihat dari segi hasil yang kerajaan negeri perolehi dengan cepat. Kita harus melihat bahawa bukan hanya pendapatan negeri yang kita harus pertimbangkan, tetapi pendapatan pekerja-pekerja tempatan.

“Kayu balak kita lebih daripada cukup untuk pasaran, tapi jangan terlalu memotong sangat kerana hidupan lain juga memerlukannya,” jelasnya.

Tambahnya selain memastikan bekalan kayu mencukupi bagi keperluan industri hiliran di Sabah, kerajaan negeri juga akan memastikan aspek kemahiran tenaga buruh, kemudahan infrastruktur dan prasarana diperkukuhkan. -SabahNewsToday