Pilih Bahasa

Tingkatkan kesedaran masyarakat berkaitan isu sampah

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kesedaran masyarakat di negeri ini berkaitan sampah perlu dipertingkatkan dalam usaha menangani masalah berkenaan dari terus berlaku.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Jaujan Sambakong berkata kesedaran serta pemikiran masyarakat dalam menangani masalah berkenaan penting kerana sampah itu berpunca daripada manusia sendiri.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong ketika sidang media. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Walaupun kita sudah mempunyai sistem  pengurusan sampah sejak dahulu seperti penyediaan tong sampah serta tempat pelupusan dan pembuangan sampah tetapi pemikiran masyarakat masih ditakuk lama, sukar bagi kita berubah.

“Ambil contoh di masyarakat Jepun. Mereka tidak membuang sampah merata-rata dan sekiranya hendak membuang sampah sekalipun mereka akan buang di tempat yg disediakan namun berbeza di sini walau tong sampah sudah disediakan namun sesetengah individu tidak menggunakannya.

“Oleh itu, penting untuk kita tingkatkan kesedaran ini dan mahu mendidik masyarakat  buang sampah ditempat sepatutnya mengikut jenis agar sistem pungutan sampah dapat dilaksanakan lebih mudah oleh pihak konsisi  atau syarikat yang hendak mengambil bahan kitar semula mengikut jenis.

“Kita memang mengambil penekanan berat dalam masalah sampah ini kerana mahu jadikan negara ini sebuah negara maju namun masyarakat yang maju sudah tentu kebersihan menjadi teras utama. Sehebat manapun kemajuan tetapi sekiranya persekitaran kotor, ia belum menunjukkan masyarakat kita maju,” katanya ketika sidang media selepas sesi perbahasan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah ke 15, dekat sini, hari ini.

Terdahulu semasa sesi soal jawab beliau menjawab soalan Tan Lee Fatt (DAP-Likas) berkaitan perancangan jangka pendek dan panjang bagi pengurusan sampah di Sabah.

Dalam pada itu, Jaujan turut meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya sentiasa proaktif melaksanakam tugas masing-masing dan tidak hanya mengambil tindakan selepas menerima aduan masyarakat atau pihak tertentu.

“Memang berbangga apabila aduan kita diambil tindakan pihak berkuasa tetapi lebih bagus sekiranya penguatkuasa melakukan pemantauan berterusan tanpa menunggu adanya aduan.

“Kita mahu penguatkuasa ini bertindak pantas dari pihak lain kerana ia memang tugas mereka. Bukannya diketuk dahulu baru mereka bergerak, konsep ini sudah salah.

“Bagaimanapun, secara keseluruhannya langkah mengatasi masalah sampai ini adalah kerjasama semua pihak dan tidak seharusnya diletakkan pada bahu kerajaan sahaja,” katanya. -SabahNews Today