Pilih Bahasa

Tingkatkan penguasaan ICT kalangan murid semasa PKP

Oleh Sabah News Today

TUARAN: Semua sekolah digesa menganjurkan program penambahan ilmu dan mengasah bakat murid-murid semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

President Kelab Prihatin dan Ketua Wanita PKR Tuaran Chrisnadia Sinam memuji Pejabat Pendidikan Tuaran atas inisiatif mereka menganjurkan program pendidikan secara online antaranya melalui pertandingan semasa tempoh PKP.

Chrisnadia menyampaikan sumbangan hadiah tunai kepada Ketua Pegawai Pendidikan Tuaran Hajah Wanihim Othman (kanan) untuk pertandingan bercerita dalam bahasa Inggeris secara online.-Gambar SNT/Ihsan Kelab Prihatin

Program ini, katanya dapat merealisasikan objektif meningkatkan penguasaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dikalangan pelajar.

Dalam pada itu, beliau berkata usaha PPD Tuaran wajar dicontohi.

“Tiada alasan untuk tidak belajar kerana boleh belajar melalui online seperti aplikasi pesanan Whatsapp, Telegram, Zoom, Skype, Google Classroom dan banyak lagi aplikasi lain,” katanya.

Program ini memanafaatkan murid-murid dan ibubapa di rumah antaranya dapat berkarya bersama keluarga, memupuk minat dalam karya berlakon, menari, bernyanyi dan bercerita, katanya.

Chrisnadia berkata demikian selepas menyumbangkan hadiah wang tunai bagi pertandingan bercerita dalam bahasa Inggeris secara online anjuran PPD Tuaran.

Juara pertandingan bercerita dalam bahasa Inggeris PPD Tuaran, Marion Clair Engalbert dari SJKC Chung Hwa, Tamparuli. Gambar SNT/Ihsan Kelab Prihatin

Menurutnya walaupun sekolah ditutup kerana PKP, solusi perlu dicari bagi memastikan para pelajar masih belajar walaupun dalam keadaan yang terhad.

Katanya pelbagai program yang boleh dianjurkan termasuk program pertandingan bercerita, pertandingan bakat terbaik, pertandingan cerita rakyat untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.

Kerajaan telah memperuntukan bajet sebanyak RM6 Bilion dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) dan beliau berharap Kementerian Pendidikan dapat memperuntukan sedikit bajet khasnya kepada ibubapa atau pelajar tinggal di luar bandar yang mempunyai telefon pintar supaya dapat membeli data untuk meringankan beban kewangan ibubapa semasa tempoh PKP ini.

Pertandingan bercerita dalam bahasa Inggeris peringkat sekolah rendah Tuaran dimenangi oleh Marion Clair Engalbert dari SJKC Chung Hwa, Tamparuli.-SabahNewsToday