Pilih Bahasa

Tiru aksi video lucah, murid Tahun Lima rogol kakak sepupu

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Seorang murid Tahun Lima ditahan polis kerana merogol kakak sepupunya yang berusia 12 tahun, di Penampang, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Harris Ibrahim berkata ketika kejadian, perbuatan tersebut diketahui oleh abang mangsa ketika mereka sedang melakukan hubungan seks di dalam bilik tidur murid perempuan terbabit.

DSP Mohd Haris Ibrahim. Gambar Fail SNT

“Kita telah menerima laporan daripada ibu mangsa berhubung kes berkenaan.

“Hasil daripada siasatan awal mendapati ia adalah perbuatan keempat,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Kepolisan Konstabel Siri Dua 2019, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Mohd Harris berkata hasil siasatan juga mendapati tersebut dipercayai bermula dengan pengaruh video lucah yang diperoleh daripada telefon pintar.

Kanak-kanak tersebut melakukan hubungan seks secara sukarela dengan meniru aksi yang terdapat dalam video lucah berkenaan.

Kini, polis Penampang sedang menyiasat kes yang diklasifikasikan sebagai kes rogol dan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Manakala, suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. -SabahNewsToday