Pilih Bahasa

Tolak anasir yang cuba pecah belahkan keharmonian kaum: Dr Yusof

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob sempat berinteraksi dengan murid SK Logongon Pagalungan Nabawan selepas pada majlis Pelancaran Hari Kebangsaan Peringkat Daerah Kecil Pegalungan. Gambar SNT/Ehsan Abdul Bakar Esah

NABAWAN: Perpaduan dan pendidikan merupakan elemen penting untuk memastikan kemerdekaan negara tidak akan tergadai oleh pengaruh anasir luar yang menggangu gugat keamanan di negara ini.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, tanpa perpaduan rakyat, kemerdekaan yang dicapai juga mungkin tidak akan bertahan lama sekiranya wujud persengketaan oleh puak-puak tertentu sehingga memecahbelahkan keharmonian negara.

“Sekiranya penduduk saling bersengketa antara satu sama lain, antara kumpulan-kumpulan tertentu atau antara satu kaum dengan kaum yang lain, ia akan mengundang kehancuran sesebuah negara.

“Keadaan demikian sudah dapat kita lihat telah terjadi di beberapa negara lain apabila rakyatnya saling bergaduh sesama sendiri sehingga mengakibatkan kehidupan mereka sudah tidak aman.

Warga Pagalungan merakamkan kenangan bersama Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob serta pegawai-pegawai kerajaan. Gambar SNT/Ehsan Abdul Bakar Esah

“Dalam keadaan itu, kemerdekaan sudah tidak bermakna lagi,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Hari Kebangsaan Peringkat Daerah Kecil Pagalungan di Sekolah Kebangsaan (SK) Logongon, Pagalongan Nabawan di sini hari ini.

Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin turut memberi penekanan terhadap kepentingan pendidikan sebagai elemen utama melahirkan warga merdeka dalam erti kata yang sebenar.

“Dalam mendepani perubahan globalisasi, rakyat perlu mempunyai pendidikan pada tahap tinggi dalam semua bidang demi kelangsungan kemerdekaan negara.

Keperluan ini, katanya, menuntut kesedaran setiap individu khususnya ibu bapa agar komited memastikan pendidikan anak-anak menjadi agenda utama dalam kehidupan.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob (enam dari kiri) bersama Mohammad (tiga dari kanan), Jenifer (kiri), Maimunah (empat dari kiri) dan jemputan khas melaungkan kata keramat Merdeka. Gambar SNT/Ehsan Abdul Bakar Esah 3 gambar

“Negara memerlukan warga yang memiliki minda merdeka. Justeru , untuk memenuhi keperluan itu rakyat mestilah berilmu dan berinovatif,” katanya. – SabahNewsToday