Pilih Bahasa

Tolak Umno demi keharmonian rakyat berbilang kaum, agama Sabah: Fredie Sua

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah harus menolak Umno dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 26 September ini demi menjaga keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama negeri ini.

Presiden Persatuan Suang Lotud Sabah Datuk Fredie Sua menyuarakan kebimbangan beliau setelah melihat satu laporan polis mengenai dakwaan pembentukan Skuad Sabil kalangan ahli Pemuda Umno negeri ini.

Datuk Fredie Sua. Gambar Fail SNT

Menurut peguam Muhammad Abdul Karim yang membuat laporan polis tersebut, Sabil membawa maksud peperangan menegakkan agama dan lazimnya merujuk kepada perang Sabil antara Islam dan Kristian serta agama-agama lain, katanya.

“Jadi kita amat bimbang apabila mendengar perkara seumpama ini. Sekiranya Pemuda Umno mahu memperkenalkan Sabil Sabah kalangan pemuda Umno di Sabah, ada baiknya Umno jangan menyertai pilihanraya di Sabah lagi.

“Sabah adalah negeri berbilang suku kaum dan etnik serta agama yang sekian lama telah hidup dalam suasana aman damai dan harmoni.

“Tidak terlintas pula di fikiran ada yang mahu membawa budaya yang merisaukan kalangan rakyat Sabah dengan menanam budaya memerangi yang lain agama,” kata Fredie.

“Selaku rakyat Sabah, kita tolak budaya Umno yang mahu berperang dengan yang beragama lain di Sabah,” katanya lagi.

Fredie menyeru semua rakyat terutamanya KDMR di negeri ini untuk menolak Umno pada PRN tidak lama lagi dan memberi sokongan penuh kepada calon-calon Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sekutunya.

Dalam laporan polis yang difail di Lahad Datu, selain meminta siasatan dijalankan, Muhammad turut meminta pihak berkuasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan skuad itu sepanjang PRN ini.-SabahNewsToday