Pilih Bahasa

TOLAK YB MELOMPAT PILIHANRAYA AKAN DATANG

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Ketua Umno Tuaran, Datuk Abdul Rahman Dahlan menyeru rakyat menolak wakil-wakil rakyat yang melompat parti dalam pilihanraya yang akan datang.

Katanya, wakil rakyat yang telah berpaling tadah ini secara terang-terangan mengkhianati kepercayaan rakyat dan menghina proses demokrasi dan pilihanraya.

Datuk Abdul Rahman Dahlan. Gambar SNT/Ihsan Twitter DARD

Dalam kenyataannya hari ini, Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata Umno Sabah kesal dengan fenomena lompat parti yang berlaku secara berleluasa di Sabah.

Baru-baru ini dua orang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) melompat iaitu Datuk Osman Jamal (Balung) dan Datuk Anita Baranting (Tandek).

“Melompat parti menjadikan negeri Sabah bahan ketawa di seluruh dunia kerana fenomena lompat parti ini terlalu berleluasa di negeri ini sehinggakan rakyat merasai apa gunanya mengadakan pilihanraya jika YB-YB menderhakai pilihan mereka.

“Kerajaan yang telah dibentuk pun boleh ditumbangkan melalui pintu belakang,” katanya.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata Umno Sabah turut bersetuju dengan pendirian kepimpinan PBS terutama presidennya Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang mengatakan bahawa perkara yang bermaruah yang perlu dibuat oleh seseorang YB yang melompat ialah untuk melepaskan jawatan dan adakan pilihanraya semula di kawasan tersebut.

“Ini barulah “gentleman”. Biar rakyat yang menentukan parti mana yang mereka mahu mewakili mereka,” katanya.

Abdul Rahman berkata menjadi pembangkang bukanlah satu perkara yang keji atau hina.

“Malah ia adalah satu tanggungjawab yang sepatutnya membanggakan kerana ianya begitu penting dalam sistem demokrasi supaya pembangkang menjadi suara semak dan imbang kepada kerajaan.

“Kalau tidak ada pembangkang, kerajaan boleh membuat apa saja yang mereka mahu,” ujarnya.

Menurut beliau lagi apapun alasan yang diberikan oleh wakil rakyat yang melompat ini, ianya tidak dapat menghilangkan kemarahan rakyat kepada mereka.

“Alasan kononnya untuk menjaga kepentingan rakyat yang diwakili mereka adalah alasan tidak masuk akal.

“Rakyat tidak senang diperbodohkan. Kerajaan wajib membangun semua kawasan. Kerajaan wajib memberi bantuan kepada semua rakyat.

“Sebenarnya hanya satu sahaja alasan yang masuk akal bahawa mereka melompat kerana kepentingan diri, kerana jawatan, kerana kuasa. Tidak lebih dan tidak kurang dari itu,”  katanya.-SabahNewsToday