Pilih Bahasa

Toreh getah ‘terapi’ PKP

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu mendorong seorang belia mengambil inisiatif menoreh getah sebagai aktiviti tetap harian.

Md Amirul Dusin, 32, berkata  dia kebiasaan bertugas sebagai Pembantu Amanah Sistem di Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) cawangan Penampang namun secara kebetulan berada di kampung yang terletak di Kampung Tigaman, Kota Marudu ketika PKP mula dikuatkuasakan.

Md Amirul melakukan aktiviti menoreh getah di kampungnya sepanjang pelaksanaan PKP. -Gambar: SNT/Mohd Nazllie Zainul-

Md Amirul berkata dia mula terlintas melakukan aktiviti menoreh getah berkenaan selepas melihat kebun getah milik keluarga di halaman belakang rumahnya.

“Saya memang berasal daripada keluarga sederhana dan menoreh ini sudah menjadi rutin sewaktu alam persekolahan.

“Walaupun sudah mempunyai pekerjaan tetap di bandar tetapi saya tidak berasa kekok dan malu untuk menoreh getah.

“Apabila kerajaan mengumumkan PKP fasa pertama selama 14 hari, saya terus terfikir untuk melakukan sesuatu yang bermanfaat dan melihat menoreh adalah aktiviti terbaik memandangkan lokasi kebun hanya beberapa meter daripada rumah sekaligus tidak perlu bergerak jauh hingga boleh melanggar arahan PKP yang sudah ditetapkan kerajaan,” katanya masih meneruskan aktiviti itu hingga fasa ketiga PKP.

Menceritakan pengalamannya, anak bongsu daripada lapan beradik itu berkata sejurus solat Subuh, dia akan terus bersiap untuk pergi menoreh pada jam enam pagi.

Menurut Md Amirul, dia hanya mengambil masa dua jam sahaja bagi proses menoreh sebelum mengutip susu getah yang sudah penuh untuk masukan ke dalam bekas khas.

Md Amirul berkata aktiviti itu baginya tidak mengambil masa lama malahan semua pekerjaan selesai kira-kira jam sembilan pagi.

Dalam pada itu, pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan kepujian daripada Universiti Terbuka Malaysia (OUM) itu menyatakan dia tidak melihat menoreh getah hanya untuk mengisi masa ketika PKP tetapi beranggapan ia juga suatu senaman yang baik untuk tubuh.

Menurutnya, sebelum ini dia akan ke gym selepas waktu bekerja namun perkara itu tidak dapat dilakukan setelah PKP.

Selain melakukan senaman ringan, Md Amirul menganggap menoreh getah ini ‘terapi gym’ buat dirinya untuk mengeluarkan peluh setiap pagi.

Bercerita lanjut tentang aktivitinya itu, Md Amirul berkata menoreh getah secara tidak langsung menjadi sumber pendapatannya ketika PKP.

“Setakat ini, saya sudah beberapa kali menjual torehan dan hasilnya jua lumayan sebagai wang tambahan harian,” katanya. -SabahNewsToday