Pilih Bahasa

TPM SARAN PERTINGKAT STRATEGI PENGURUSAN PENCEGAHAN RISIKO BENCANA BAHARU

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan tindakan pencegahan daripada risiko bencana baharu wajar diaplikasikan oleh semua pihak dalam kitaran pengurusan risiko bencana yang komprehensif.

Dalam konteks ini beliau berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang merupakan agensi peneraju utama pengurusan bencana negara bersama dengan kerajaan negeri dan pelbagai agensi lain sentiasa berusaha untuk meningkatkan strategi pengurusan risiko bencana.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Gambar Fail SNT/Mohd Adam Arinin

Menurut Wan Azizah langkah tersebut penting ke arah pengukuhan daya tahan terhadap bencana sama ada di peringkat negeri atau daerah.

“Saya difahamkan untuk 2017 sahaja telah berlaku 86 kali kejadian banjir kilat yang mana sebanyak enam kejadian ini melibatkan pembukaan pusat pemindahan.

“Trend kejadian banjir yang sangat kerap ini saya dimaklumkan berlaku akibat impak gempa bumi pada 2015 lalu, yang mana tanah runtuh dan jatuhan batuan daripada Gunung Kinabalu telah menyebabkan sedimentasi di sungai-sungai sekitar Kota Belud seperti Sungai Kedamaian yang menyebabkan sungai semakin cetek.

“Walaupun kejadian banjir pada 2018 dan 2019 di Kota Belud dilihat makin berkurang berbanding 2017, kerajaan Persekutuan memandang serius perkara ini dan tetap mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dalam isu bencana,” ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Kepada Mangsa-mangsa Kebakaran Kampung Pasir Putih Putatan yang disampaikan Wan Azizah di Dewan Serbaguna Putatan di sini hari ini.

Sebagai langkah mitigasi jangka pendek, Wan Azizah berkata beliau difahamkan kerajaan Sabah dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang dalam perancangan untuk melaksanakan projek khas pengorekan dan pengambilan batu dan pasir sungai bagi tujuan mendalamkan Sungai Kedamaian yang semakin cetek ekoran masalah sedimentasi pasca gempa lalu.

Katanya kerajaan Persekutuan turut menyediakan peruntukan sejumlah RM50 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedamaian dan RM17 juta untuk projek RTB Sungai Gurong-Gurong yang pada ketika ini sedang dilaksanakan, sebagai tindakan jangka panjang untuk mengatasi masalah banjir.

Dalam pada itu beliau berkata kerajaan juga mengambil maklum bahawa tindakan pengurangan risiko bencana di Malaysia amnya dan di Sabah khususnya yang mempunyai risiko bahaya pelbagai (multihazard), seperti banjir, tanah runtuh dan gempa bumi harus dilaksanakan secara holistik dengan mengambil kira semua kepentingan manusia, aktiviti sosio-ekonomi dan alam sekitar.

“Di Sabah, contohnya di Kota Belud, kita menghadapi dua keadaan iaitu kekurangan sumber air apabila tiba musim panas atau kemarau dan lebihan air yang menyebabkan banjir pada musim hujan atau monsun.

“Justeru, kerajaan Persekutuan melalui JPS dengan kerjasama daripada pelbagai jabatan teknikal seperti Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Meteorologi Malaysia dan Jabatan Pertanian sedang dalam proses melaksanakan kajian kemungkinan (feasibility study) secara bersepadu di Kota Belud.

“Ini melibatkan kajian penilaian kecukupan sumber air dan penyediaan pelan pengurusan sumber air bagi tujuan pertanian, domestik dan industri; kajian penilaian risiko bencana dan penilaian impak risiko banjir melalui penyediaan peta bahaya dan peta risiko (hazard & risk map) dan penyediaan pelan mitigasi bagi meminimumkan impak bencana,” katanya.

Beliau berkata kajian intu diharapkan akan menyediakan maklumat dan informasi penting kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah dalam merancang pembangunan yang mampan dengan mengambil kira aspek risiko bencana dan impak alam sekitar. – SabahNewsToday