Pilih Bahasa

`Tragedi menunggu durian’ ragut nyawa lelaki di Kampung Luagan

Oleh Sabah News Today

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian di Kampung Luagan, Sipitang. – Gambar SNT/Ihsan Bomba

SIPITANG: Seorang lelaki maut selepas dihempap pokok yang tumbang ke arah pondok tempatnya berteduh di kebun durian di Kampung Luagan, di sini petang semalam.

Mangsa Hamdi Diman, 41, dipercayai sedang menunggu durian jatuh di kebun berkenaan namun terpaksa berteduh di pondok kerana angin kuat.

Bagaimanapun tiba-tiba pokok tumbang dan menghempap pondok berkenaan hingga menyebabkan mangsa parah sebelum disahkan meninggal dunia.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian mangsa terperangkap akibat dihampap pokok tumbang pada pukul 4.52 petang dan menghantar sepasukan bomba ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, operasi mengeluarkan mangsa dilakukan oleh bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang membabitkan seorang pegawai dan empat anggota.

“Mangsa kemudian dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, pasukan bomba kemudian melakukan pemeriksaan di sekitar tempat kejadian bagi memastikan tiada bahaya lain berlaku manakala operasi tamat kira-kira pukul  8.10 malam tadi,” katanya. – SabahNewsToday