Pilih Bahasa

TRAUMA SUAMI CARI PEKERJAAN DI LUAR NEGARA

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: “Trauma dan tidak mahu lagi suami menerima peluang pekerjaan di luar negara selepas ini.

“Hanya tuhan sahaja tahu betapa leganya hati saya ketika ini apabila melihat kali pertama wajah suami di depan mata selepas kejadian itu.

“Kami di Sabah sendiri tidak tahu dia sudah melalui pengalaman hitam ditipu sindiket pemerdagangan manusia sehingga suami menghubungi saya kira-kira dua minggu selepas ditahan pihak berkuasa Kemboja,” kata Catherine Jaikol, 28, isteri kepada salah seorang mangsa pemerdagangan manusia di Kemboja.

Catherine dan anaknya ditemukan semula dengan suaminya Chong Su Kyun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Catherine berkata walaupun niat suami ke luar negara mahu mencari rezeki untuk keluarga namun kejadian suami, Chong Su Kyun, 37, ditipu oleh sindiket seolah-olah meninggalkan kesan mendalam buat dirinya sekeluarga.

Menurutnya, dia secara peribadi memang tidak menghalang hasrat suaminya hendak ke Kemboja untuk mencari pekerjaan kerana beranggapan ia untuk kebaikkan dua anak mereka berusia tiga dan lapan tahun selain kini hamil anak ketiga enam bulan.

Chong Su Kyun adalah antara tiga warga Sabah daripada 47 rakyat Malaysia menjadi tahanan pihak berkuasa Kemboja berikutan dipercayai terbabit aktiviti perjudian haram atas talian.

Bapa kepada dua cahaya mata itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) kira-kira ja, 11.30 malam semalam bersama dua lagi warga Sabah selepas dibebaskan pihak berkuasa Kemboja, Sabtu lalu.

Dua individu lain berasal daripada negeri sama ialah Jeffrydean Jude, 19 dan Philip Ho Chee Chin, 25.

Kepulangan semua warga negeri ini disambut oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman.

Semua rakyat Malaysia berusia antara 19 sehingga 44 tahun berkenaan ditahan sejak 11 Disember lalu di penjara wilayah Banteay Mancheay yang terletak kira-kira 446 kilometer dari Phnom Penh. –SabahNews Today