Pilih Bahasa

Tuah lagu ciptaan sendiri, Dabra Sia Ying Ying, Johan Sugandoi Kaamatan 2019

Oleh Alfred Petrus

PENAMPANG: Lagu Hiti Noh Masoku yang dicipta sendiri oleh Dabra Sia Ying Ying membawa tuah kepada beliau apabila dinobatkan johan Sugandoi Kaamatan Negeri 2019, kelmarin.

Wakil Kadamaian itu berkata lagu berkenaan dibuat khas sebagai penceritaan perjalanan suka duka beliau dalam pertandingan Sugandoi sejak 2017.

Dabra (tengah), Eylia (kanan) dan Adrian (kiri) merakamkan gambar kenangan bersama selepas kemenangan mereka. Gambar SNT/Sugandoi Kaamatan Negeri 2019

“Sebelum ini, saya banyak menempuh kegagalan dalam hidup terutamanya ketika menyertai pertandingan Sugandoi.

“Sebelum ini saya ada mencipta lagu lain khas untuk Sugandoi juga tetapi tidak memperoleh kemenangan dan berasa kecewa.

Dabra menyampaikan lagu ciptaannya sendiri. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Oleh itu, dari kekecewaan inilah saya dapat mencipta Hiti Noh Masoku dan membawa lagu ini untuk bertanding di Sugandoi 2019 di Kadamaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas diumumkan sebagai johan Sugandoi Kaamatan Negeri 2019 di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), pada Selasa.

Persembahan bersahaja Adrian Dauli, tempat ketiga Sugandoi Kaamatan 2019. Gambar SNT/Alfred Petrus

Namun jelasnya minat dalam bidang nyanyian itu jugalah penyebab beliau mencipta lagu Hiti Noh Masoku yang mana turut memberi impak kepada semua pendengar agar tidak berputus asa dan terus mencuba selepas kegagalan.

Tambahnya beliau mula berinsiprasi dalam menghasilkan lagu berkenaan pada bulan Kaamatan tahun lalu apabila berkeinginan untuk menyertai pertandingan Sugandoi di Sipitang.

Memenangi naib johan, Eylia turut memberikan persembahan yang bertenaga pada pentas akhir pertandingan itu. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Dalam pertandingan itu, saya hanya mendapat naib johan dan sejujurnya saya memang layak mendapat tempat kedua kerana sememangnya saya tidak bersedia langsung pada masa itu.

“Sebelum ini juga saya banyak kali menyertai pertandingan Sugandoi di beberapa daerah yang mana ia sudah pasti sedikit sebanyak memberikan kekuatan serta pengalaman untuk lebih bersemangat.

Persembahan Ronn Langad yang mewakili Tambunan. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Sudah pasti, salah satu penyebab saya memulakan perjalanan saya menyertai pertandingan Sugandoi Kaamatan apabila melihat pemenang Sugandoi Kaamatan Negeri 2016, Fanzi Ruji menyanyi dengan begitu hebat dan unik pada pertandingan itu.

“Dengan perjalanan saya di dunia seni ini, saya boleh katakan bahawa ini adalah pencapaian tertinggi saya,” jelasnya.

Nor Ain Awang Damit wakil Dun Karambunai. Gambar SNT/Alfred Petrus

Katanya dalam pertandingan Sugandoi Kaamatan Negeri 2019, beliau ada mencipta lagi lain bertajuk Huminodun untuk dinyanyikan, namun lagu Hiti Noh Masoku menjadi pilihan utama beliau.

Menjawab berkenaan perancangan masa hadapan dalam dunia nyanyian, Dabra, 28, berasal dari Kampung Kelawat Kota Belud itu berkata, beliau mahu menumpuhkan kerjayanya sebagai jururawat.

Peserta mewakili KDCA Pulau Pinang, Joyce Rufiona Juanis. Gambar SNT/Alfred Petrus

Walaupun begitu, katanya beliau akan teruskan minatnya dalam bidang nyanyian serta akan terus menghasilkan lagu pada masa akan datang.

Dalam pertandingan itu juga, Dabra turut membawakan lagu Kosorou Kopo Nangku Doho dengan cara pembawaan serta persembahan tersendiri.

Penampilan Khas Nadia Joseph iaitu johan Bintang Kaamatan 1987 (kini: Sugandoi) yang pertama. Gambar SNT/Alfred Petrus

Melalui kemenangan tersebut, Dabra membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM6,000, trofi dan sijil. Dabra juga sekali gus dilantik sebagai duta kepada Produk Sony.

Sementara itu, naib johan dimenangi oleh Eylia Eyre Guntabid (Luyang) yang mana membawa pulang hadiah RM4,000, trofi dan sijil. Tempat ketiga pula disandang oleh Adrian Dauli mewakili Dun Karamunting dengan hadiah RM3,000, trofi dan sijil.

Peserta mewakili KDCA Labuan, Presley Petrus

Selain itu, Presley Petrus (KDCA Labuan) dan Joyce Rufina Juanis (KDCA Pulau Pinang) masing-masing mendapat tempat keempat dan kelima.

Kelima-lima pemenang tersebut juga bakal dihadiahkan single album untuk pasaran di peringkat nusantara. -SabahNewsToday