Pilih Bahasa

Tuan rumah raih emas pertama Saga IX melalui badminton berpasukan wanita

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KENINGAU: Pasukan tuan rumah, Keningau meraih pingat emas pertama mereka dalam acara badminton berpasukan wanita menewaskan Tuaran 3-2 dalam pertandingan akhir di Patikang Badminton Court Keningau di sini petang tadi.

Begitupun, Keningau dikejutkan dengan kekalahan awal dalam acara perseorangan apabila Annielysha Joy Barry tewas straight set kepada Jovine Calvin 7-21 dan 7-21.

Pasukan badminton Keningau meraikan kejayaan mereka menuai emas pertama kontinjen tuan rumah selepas menewaskan Tuaran 3-2. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Namun pasukan itu bangkit menyamakan kedudukan 1-1 menerusi pasangan beregu Clay Shervina Joinis/Nur Adela Nadia Ali yang menundukkan Dyniella Ginny Michael/Farahana Jasri 21-15, 21-10.

Pemain perseorangan kedua tuan rumah, Velerry Yap Ka Ying meneruskan rentak kemenangan pasukannya apabila mengalahkan Cassey Rynn Rompog 21-17 dan 21-8.

Enggan berputus asa, pasukan Tuaran berjaya menjadikan kedudukan 2-2 apabila Asfarhani Jasneh/Jessica Calvin menjinakkan beregu kedua tuan rumah Dayang Nurnirwanee Irwan/Hanie Izzati Muhd Khairul dengan 6-21, 10-21.

Perseorangan ketiga Keningau, Jennifer Jekius menjadi hero melalui aksi cemerlang untuk memenangi perlawanan penentuan menentang Eve Valentyna Ajirin 21-12, 21-23, 21-11 sekaligus memastikan emas milik pasukannya.

Pingat gangsa acara itu dimenangi Sandakan dan Kinabatangan.

Sementara itu Pengurus Pasukan Badminton Keningau, Datuk Jake Jikulin Nointin gembira dengan pencapaian pasukan wanita mereka yang menyumbang emas pertama bagi kontinjen Keningau dalam Sukan Sabah (Saga) IX kali ini.

Menurut beliau meskipun sasaran awal hanya meraih pingat gangsa namun kesungguhan dan tekad pemainnya memastikan mereka melepasi halangan di separuh akhir menewaskan Sandakan 3-2.

“Sebelum ini dalam separuh akhir kami ketinggalan 2-0 tapi pemain kami berjaya mengejar dan akhirnya mara ke final. Apa yang mereka buktikan di perlawanan akhir ini menunjukkan mereka layak bergelar juara.

“Ini adalah emas pertama kami dalam badminton, semasa Saga di Sandakan dua tahun lalu kami tidak meraih sebarang pingat itu adalah fasa latihan buat pemain kami,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat.

Emas bagi acara berpasukan lelaki pula diraih kontinjen Kota Kinabalu menewaskan Papar dengan 3-2.

Pingat kepada para pemenang disampaikan oleh Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Arunarasih Taib. – SabahNewsToday