Pilih Bahasa

Tubuh kesatuan gabung semua persatuan perfileman di Sabah

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINBALU: Penggiat seni kreatif Sabah diminta menubuhkan kesatuan menggabungkan semua pengkarya filem serta drama dalam usaha melonjakkan industri terbabit di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata langkah itu dilihat bakal lebih memudahkan kerjasama antara FINAS dan penggiat seni tempatan di negeri berkenaan dalam pelbagai aspek berkaitan perfileman.

Ahmad Idham menandatangani plak sebagai gimik pelancaran Perkampungan Filem Sabah (KDMFM) di Penampang, hari ini. Gambar SNT/ Ihsan Penerangan

“Kita tahu banyak persatuan di negeri ini tetapi saya cadangkan ia digabungkan menjadi satu agar segala urusan lebih mudah dilaksanakan.

“Saya dimaklumkan persatuan seni di negeri ini hanya kira-kira 12 persatuan berbanding di Semenanjung yang sudah mencecah 49 persatuan.

Ahmad Idham ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Perkampungan Filem Sabah (KDMFM) di Penampang, hari ini. Gambar SNT/ Ihsan Penerangan

“Oleh itu, kita yakin Sabah boleh menjadi negeri pertama mewujudkannya di negara ini kerana bilangan persatuan yang tidak banyak sekaligus lebih mudah ditadbiruruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Perkampungan Filem Sabah (KDMFM) di Kampung Sukod, di sini, hari ini.

Ahmad Idham (tiga dari kiri) sewaktu ditemubual pihak media selepas Majlis Pelancaran Perkampungan Filem Sabah (KDMFM) di Penampang. Gambar SNT/ Ihsan Penerangan

Ahmad Idham berkata penggabungan itu kelak bukan sahaja memudahkan urusan berkaitan dana serta latihan malahan FINAS juga boleh membuat pemantauan berterusan ke atas industri seni kreatif di Sabah.

Menurut beliau, pihak persatuan mungkin boleh memilih seorang wakil untuk menyatakan laporan berkaitan aliran industri filem serta drama di negeri itu kepadanya agar FINAS dapat memberikan solusi terbaik untuk pengkarya di Sabah.

“Apabila saya dipilih menjadi CEO yang baharu, Sabah adalah salah satu negeri sasaran saya yang dilihat memiliki potensi besar dalam bidang perfileman.

“Kita lihat negeri ini bukan sahaja memiliki banyak lokasi cantik dan menarik untuk penggambaran malahan turut mempunyai ramai penggiat seni hadapan kamera serta belakang tadbir berpengalaman yang boleh diketengahkan,” katanya. -SabahNews Today