Pilih Bahasa

Tuduhan terhadap Jamilah, Dr Maximus cuba tutup kelemahan diri

KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Hajah Jamilah Sulaiman tidak terkilan dengan beberapa tuduhan yang telah dilemparkan keatasnya oleh Datuk Dr Maximus J Ongkili.

Katanya Presiden PBS itu bersama ‘gengnya’ sengaja mereka-reka cerita yang bertujuan memburukkan namanya.

Datuk Jamilah Sulaiman. Gambar Fail SNT

Menurutnya tuduhan negatif terhadap dirinya yang dikeluarkan oleh Dr Maximus di akhbar dan media sosial bertujuan menutup kelemahannya sebagai seorang presiden parti yang tidak tegas dan tidak berpegang pada kata-katanya.

Beliau mengulas kenyataan Dr.Maximus pada Isnin yang menuduh Jamilah telah beberapa kali mengugut untuk meletakkan jawatan, selain masuk campur dalam perihal diluar spesifikasi dan tugasnya terutama melibatkan Pergerakan Pemuda dan Wanita PBS.

Katanya Dr Maximus harus ingat bahawa beliau memang pernah menghantar surat peletakan jawatan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan kerana kecewa dengan prestasi yang ditunjukkan oleh beberapa pemimpin yang tidak komited dengan kerja sepanjang kempen PRK, dan juga campur tangan Ketua Pemuda dengan tugas yang telah diamanahkan kepadanya.

Menurutnya beliau telah bertemu empat mata dengan Dr Maximus dan meluahkan semua alasan, namun Dr Maximus memintanya menarik balik niat tersebut atas alasan Presiden masih memerlukan khidmatnya untuk membantu parti.

Atas dasar simpati (memandangkan Dr.Maximus baru pulih daripada sakit) dan kerana sayangkan parti, maka beliau membatalkan niat untuk meletak jawatan.

Mengenai dakwaan bahawa beliau campurtangan dalam urusan Pemuda dan Wanita, Jamilah berkata Dr Maximus sendiri yang mencadangkan beliau menjadi Ketua Penyelaras Penubuhan Biro Belia dan Beliawanis parti semasa Mesyuarat Majlis Tertinggi PBS dan cadangan itu telah diluluskan.

Namun katanya amat mengecewakan apabila “Ketua Pemuda dan kuncu-kuncunya telah mensabotaj setiap Mesyuarat Biro itu sehingga panggilan mesyuarat yang ketiga.”

Beliau mendakwa selepas itu, Ketua Pemuda telah mengambil alih tanpa dirujuk kembali kepada mesyuarat Majlis Tertinggi.

Jamilah berkata tidak ada dalam sejarah PBS, seorang Ketua Pemuda (AMT) lebih berkuasa daripada keputusan Mesyuarat Majljs Tertinggi (MT).

“Sebenarnya tindakan patut diambil keatas Ketua Pemuda, namun sekarang Dr Maximus telah putar belitkan fakta yang berlaku,” katanya.

Ini yang beliau katakan Dr Maximus adalah seorang pemimpin yang “tidak berpegang pada kata-katanya’.

Jamilah berkata beliau hanya menjalankan tugas dan amanah atas arahan daripada Presiden dan juga Majlis Tertinggi parti.

Menurutnya, “pemimpin PBS sedia ada, khususnya geng Dr Maximus tidak perlu khuatir dan bimbang kerana beliau tidak membawa bersama sebarang jawatan atau kerusi meninggalkan PBS.”

“Dr Maximus tidak perlu mengungkit tentang jawatan-jawatan yang telah saya sandang kerana itu semua diberikan dibawah pimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Dr Maximus juga tidak dapat menafikan yang saya juga banyak menyumbang dan berkorban untuk parti,” tegasnya.

Katanya beliau tidak mempunyai masalah berkerja di bawah kepimpinan Pairin selaku Presiden PBS selama 32 tahun.

“Pairin seorang peminpin dan ketua yang boleh dibawa berbincang, mempunyai rasa balas kasihan dan jujur,” katanya.

Sementara ketika mengulas kenyataan Naib Presiden PBS, Datuk Johnny Mositun pada 5 Februari yang mendakwa mengadakan perjumpaan bersama pemimpin PBS Sindumin di Sipitang, Jamilah berkata ia adalah satu pembohongan.

Katanya perjumpaan itu sebenarnya diadakan di Restoran Sinar Bayu Beaufort dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian N. 28 Sindumin yang hadir hanya dua orang saja.

Jamilah menegaskan memang dari mulanya beliau mengharapkan ada diantara AJK Bahagian yang sanggup bertahan supaya Ibu Pejabat PBS tidak perlu untuk menyelaras bahagian itu, namun 17 daripada 18 AJK bahagian telah memutuskan untuk bersama-samanya meninggalkan PBS.

“Mereka berbuat demikian dengan alasan tiada yang sanggup untuk menjaga bahagian. Apatah lagi tiada peruntukan bulanan yang dibantu oleh Ibu Pejabat PBS. Ini kerana kesemua bahagian PBS tidak menerima apa-apa bantuan kewangan bulanan dari ibu pejabat selama ini,” tegasnya.

Beliau berharap dengan pengundurannya, kepimpinan PBS boleh memikirkan cara untuk membantu bahagian-bahagian darisegi kewangan untuk beroperasi dan menjalankan aktiviti mereka.

Jamilah juga merakamkan terima kasih kepada Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, semua kepimpinan parti di peringkat tertinggi dan akar umbi Pergerakan Wanita dan Pemuda serta semua ahli parti yang telah memberikan sokongan dan dokongan kepadanya selama beliau berkhidmat dalam PBS.-SabahNewsToday