Pilih Bahasa

Tugas tentera bukan untuk dijadikan bahan sandiwara tapi penghargaan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Tugas anggota tentera khususnya di kawasan sempadan negara demi menjaga keamanan bukan sesuatu perkara yang boleh dijadikan sandiwara oleh individu tanpa merasai cabaran yang mereka hadapi setiap hari.

Ketua Staf Markas Briged Kelima Infantri Malaysia, Leftenan Kolonel Kamarulzaman Mohd Yunos berkata tentera negara sudah bertarung nyawa, meninggalkan keluarga dan lafaz sumpah perajurit sebagai tanda menyerahkan jiwa raga mereka namun masih ada lagi segelintir individu yang mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas.

Ketua Staf Markas Briged Infantri Malaysia, Leftenan Kolonel Kamarulzaman Mohd Yunos melepaskan rondaan anggota tentera Malaysia dan Indonesia. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Katanya walaupun kini tentera tidak menghadapi ancaman secara terang-terangan seperti yang dialami tentera terdahulu, namun ancaman tetap wujud di mana sahaja tidak kira sebelum merdeka atau selepas Malaysia mencapai kemerdekaan.

Jelasnya keamanan yang dikecapi pada hari ini bukan mudah dan tanggungjawab tentera adalah untuk memastikan bahawa negara kita berada dalam keadaan aman, tenteram dan berdaulat.

“Saya ambil maklum terdapat individu yang mengeluarkan kenyataan berhubung tentera negara kita tidak menjalankan tugas. Namun, jika seseorang yang mengeluarkan kenyataan itu merasai keperitan tentera zaman dahulu dan kini, sudah tentu dia tidak akan keluarkan kenyataan-kenyataan yang sedemikian.

Ketua Staf Markas Briged Infantri Malaysia, Leftenan Kolonel Kamarulzaman Mohd Yunos (tengah), bersama Komandan Batalion Infantri Raider 600/Modang, Mayor Infantri Roland Wahyudi (kanan) dan Pegawai Memerintah 3 Rejimen Renjer Diraja, Leftenan Kolonel Zulkifli Jaafar (kiri) ditemui dalam sidang media. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Walaupun kita tidak ada ancaman komunis, namun kita tetap menghadapi ancaman lain seperti penyeludupan, kemasukan anasir-anasir jahat di perbatasan kerana jenayah dan ancaman tidak mengira tempat.

“Justeru itu adalah tidak sesuai bagi seseorang individu mengeluarkan kenyataan berhubung tugas tentera tanpa merasainya sendiri. Kadang orang yang bercakap hanya ingin melepaskan ketidakpuasan hati terhadap sesuatu sehingga tidak berfikir bahawa sejarah sudah tercipta pada tahun 1957,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Pembukaan Patroli Terkoordinasi (PATKOR) Siri 1/2019 yang diadakan di Pos Serudong, hari ini.

Ketua Staf Markas Briged Infantri Malaysia, Leftenan Kolonel Kamarulzaman Mohd Yunos memakaikan toha di lengan ketua platun. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Pada majlis pembukaan itu, seramai 27 anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dan 27 anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI)-Angkatan Darat terbabit yang sedang beroperasi di persempadanan.

Beliau berkata operasi berkenaan dijalankan bertujuan membuat rondaan di perbatasan secara bersama antara tentera Malaysia dan Indonesia sejauh kira-kira 24 kilometer yang mengambil masa selama enam hari untuk tiba di Pos Simanggaris, di sempadan Indonesia.

Gambar kenangan 52 anggota dan dua pegawai tentera Indonesia dan Malaysia sebelum bergerak menjalankan rondaan yang mengambil masa selama enam hari. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Empat titik pemeriksaan akan dilalui sebagai satu langkah keselamatan disamping memeriksa kira-kira 277 batu sempadan atau dikenali sebagai patok.

“Jumlah jarak dan batu sempadan adalah kuantiti yang tersurat namun semangat kerjasama dalam merealisasikan objektif itu antara kedua negara adalah pengalaman yang bernilai kepada anggota yang menyertainya.

“Disamping mereka melaksanakan rondaan, mereka juga akan mempraktikkan ilmu medan perang bagi mengenal pasti di mana penjenayah menjadikan lorong-lorong kemasukan pendatang asing sama ada di perbatasan Malaysia atau Indonesia,” jelasnya.

Tentera Malaysia dan Indonesia bersiap sedia menjalankan rondaan sejauh 24 kilometer dan akan tiba di Pos Simanggaris, Sempadan Indonesia. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Sementara itu, Komandan Batalion Infantri Raider (DANYONIF) 600/Modang, Mayor Infantri Roland Wahyudi berkata kegiatan PATKOR antara dua negara ini diharap dapat memupuk perhubungan erat bukan hanya sesama perajurit namun hubungan masyarakat secara keseluruhannya.

“Kita adalah satu rumpun…yang menjadi perbezaan adalah penjajahanya dahulu sahaja. Jadi dengan kerjasama seperti ini dapat mempererat persaudaraan.

“Sebagai anggota tentera, ia adalah medium dimana kami sama-sama bertugas dan tidak ada sebarang perbalahan berlaku antara tentera kedua negara ini ketika menjalankan tugas bersama,” katanya. –SabahNewsToday