Pilih Bahasa

Tujuh kementerian, jabatan, agensi beri keterangan hadapan PAC negeri

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negeri (PAC) Sabah berpuas hati dengan keterangan diberikan oleh tujuh kementerian, jabatan dan agensi utama yang terlibat berkaitan isu-isu yang belum selesai dalam Laporan Ketua Audit Negara Negeri Sabah bagi tahun 2016 dan 2017.

Pihak yang dipanggil bagi memberikan keterangan dalam mesyuarat PAC Sabah hari ini ialah Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah, Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Pertanian Negeri Sabah.

Abidin (tengah) semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa PAC Negeri Sabah di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Pengerusinya, Datuk Abidin Madingkir berkata sebanyak empat laporan telah dibincangkan dalam mesyuarat kali kedua yang diadakan bagi membincangkan Laporan Ketua Audit Negara Negeri Sabah.

Abidin berkata empat laporan tersebut ialah Laporan Ketua Audit Negara Negeri Sabah Tahun 2016 Siri Dua; Tahun 2017 Siri Satu dan Dua serta Laporan Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Sabah bagi tahun 2017.

“Bagaimananpun secara keseluruhan saya selaku Pengerusi PAC berpuas hati dengan keterangan yang diberikan oleh kementerian, jabatan dan agensi terlibat sepanjang sesi mendengar keterangan saksi.

“Namun begitu masih banyak ruang penambahbaikan dan tindakan perlu diambil oleh kementerian, jabatan dan agensi dalam menangani isu berbangkit supaya tidak berulang pada masa akan datang,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat.

Mesyuarat berkenaan diadakan di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah (Dun) itu diadakan selama dua hari sejak semalam.

Dalam pada itu, Abidin berkata PAC akan terus memantau kementerian, jabatan dan agensi yang masih gagal menangani isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara serta akan turun padang untuk memastikan tindakan betul telah diambil oleh pihak terbabit.

Abidin (tengah) dan beberapa ahli Jawatankuasa PAC Negeri Sabah melihat Buku Laporan Tahunan PAC Negeri Sabah yang boleh diperolehi oleh orang awam untuk rujukan. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Mengenai mesyuarat itu, beliau memberitahu sebanyak dua tajuk kajian tidak dibincangkan iaitu Kajian Program Mini Estet Sejahtera (Mesej) bagi pertanian dan kelapa sawit serta Kajian Pengurusan Rumah Penyembelihan Haiwan kerana sedang dalam proses siasatan okeh jawatankuasa siastan dalaman kerajaan negeri.

Katanya mesyuarat jawatankuasa PAC akan datang memanggil semua semula kementerian, jabatan dan agensi yang terlibat dengan jawatankuasa siasatan dalaman bagi kajian laporan Mesej dan pengurusan rumah sembelihan haiwan.

“Dalam mesyuarat akan datang, kita akan membincangkan isu Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018 Siri Satu dan memanggil empat kementerian, jabatan dan agensi untuk memberikan keterangan terhadap isu kajian prestasi dan pengurusan kewangan berdasarkan indeks akauntabiliti,” ujarnya. – SabahNewsToday