Pilih Bahasa

Tujuh KRT berjaya kumpul 115 pain darah

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Sebanyak 115 pain darah berjaya dikumpulkan dalam tempoh lima jam sepanjang Kempen Derma Darah anjuran tujuh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Tugu Peringatan Inanam, hari ini.

Antara KRT yang terbabit dalam menjayakan program berkenaan adalah KRT Pekan Inanam, Kampung Bambangan, Kampung Pagasaan, Kampung Kobuni, Kampung Nountun, Kampung Pomotodon dan Kampung Minintod.

Wong (dua kiri) bersama-sama dengan penderma darah yang hadir pada program berkenaan. Gambar SNT/Alfred Petrus

Kempen berkenaan turut dijayakan dengan kerjasama Persatuan Penderma Darah Negeri Sabah (Pendarah), Tabung Darah Hospital Queen Elizabeth (HQE) Dua dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Bahagian Sepanggar.

Pengerusi penganjur, Datuk Wong Thien Fook berkata tujuan utama kempen berkenaan diadakan adalah bagi membantu mengisi kekurangan bekalan darah di Jabatan Perubatan Transfusi HQE Dua.

Katanya kempen berkenaan amat berjaya berikutan kesedaran tinggi dalam kalangan masyarakat sekitar yang tidak putus-putus datang untuk menderma darah.

“Hari ini, kita menerima kehadiran penderma seramai 175 orang namun hanya 115 orang saja yang dibenarkan untuk menderma darah.

“Kempen ini akan diteruskan dari semasa ke semasa kerana kita sedar, setiap sumbangan darah itu dapat menyelamatkan banyak nyawa yang memerlukan,” katanya ketika ditemui pada program tersebut, pada Sabtu.

Wong berkata beliau sangat berterima kasih kepada semua pihak terutamanya jawatankuasa KRT yang memberi sokongan penuh dalam menjayakan program mulia itu.

Pada program berkenaan, 100 penderma darah terawal menerima beras dan beberapa bahan makanan hasil daripada sumbangan orang ramai. -SabahNewsToday