Pilih Bahasa

TUJUH LELAKI DITAHAN MILIKI GANJA DAN SYABU

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Dua lelaki tempatan berumur 23 tahun berjaya diberkas dipercayai memiliki tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja dalam satu operasi pada Ahad.

Kedua-dua lelaki terbabit ditangkap di lokasi berasingan sekitar kawasan bandaraya Kota Kinabalu dan Kampung Tanjung Aru Lama antara pukul 11 malam sehingga 12.30 tengah malam.

Habibi (tengah) menunjukkan barang kes hasil tangkapan tujuh individu terbabit. Gambar SNT/Ihsan Polis

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata ketika tangkapan tersebut, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu turut merampas barangan kes iaitu ganja seberat 169 gram bernilai RM6,760.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan hukuman sebat tidak kurang daripada 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, dalam tangkapan berasingan pada 9 Mac dan 13 Mac, BSJND IPD Kota Kinabalu berjaya menahan tiga lelaki warga tempatan dan dua lelaki warga asing berumur 24 hingga 39 tahun di dua lokasi berasingan sekitar Inanam dan Kampung Cenderakasih.

Antara barang kes yang dirampas pada operasi berkenaan. Gambar SNT/Ihsan Polis

Kelima-lima tangkapan tersebut dilakukan kerana mensyaki individu-individu tersebut memiliki dadah jenis syabu.

Habibi berkata jumlah rampasan syabu pada tangkapan tersebut adalah seberat 18.95 gram yang juga bernilai RM1,900.

Kes tangkapan memiliki syabu tersebut disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara dua hingga lima tahun serta dikenakan hukuman tiga hingga sembilan sebatan jika disabit kesalahan.

Selain itu, empat orang daripada tahanan tersebut juga disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana didapati positif dadah jenis methamphetamine (syabu) dalam ujian air kencing.

“Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 memeperuntukkan hukuman tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika disabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. -SabahNewsToday