Pilih Bahasa

Tujuh nelayan Vietnam ceroboh perairan negara ditahan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

BELURAN: Tujuh nelayan warga Vietnam ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas menceroboh perairan negara, di Pulau Lankayan, dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam, suspek lelaki berusia 30 hingga 50 tahun itu ditahan menerusi rondaan bersama Warden Kehormat Jabatan Hidupan Liar dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pasukan penguatkuasaan memeriksa bot nelayan Vietnam yamg menceroboh perairan negara dalam Op Taring di Pulau Lanyakan, Beluran. Gambar SNT / Ihsan PGA

Pegawai Memerintah PGA Batalion 20 Beluran, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata sebelum kejadian pihaknya bersama agensi penguatkuasaa berkenaan sedang menjalankan rondaan sempena Op Taring.

“Pasukan bertugas yang sedang menjalankan operasi di perairan berkenaan kemudian menahan bot nelayan dinaiki suspek jenis pukat tunda yang tertera nombor pendaftaran mencurigakan.

“Sebaik diperiksa, terdapat tujuh lelaki dipercayai warga Vietnam berada dalam kapal berkenaan dan siasatan mendapati semua gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bot nelayan Vietnam turut ditahan dalam Op Taring di Pulau Lanyakan, Beluran. -Gambar SNT / Ihsan PGA

Beliau berkata, juragan bot berkenaan turut gagal mengemukan permit perintah berkurung dan lesen kapal.

“Pemeriksaan turut menemui kesan tali pukat terputus disyaki dipotong bagi mengaburi aktiviti mereka yang sedang menjalankan kegiatan menarik pukat tunda di kawasan larangan memukat.

“Kapal dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai RM500,000 dirampas sebelum dibawa ke Pulau Lankayan bersama suspek dan diserahkan kepada Pasukan Polis Marin (PPM) untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) dan Seksyen 25 Akta Perikanan 1985 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. -SabahNewsToday