Pilih Bahasa

Tukang bersih ditahan cabul kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Polis menahan seorang tukang bersih sebuah hotel bajet di Kampung Air, di sini semalam selepas didakwa mencabul kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.

Suspek lelaki yang berusia 30 tahun ditahan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu jam 6.05 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata siasatan mendapati kejadian berlaku di sebuah bilik pekerja di tingkat dua hotel berkenaan, pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Ketika kejadian mangsa dikatakan sedang berehat di dalam bilik pekerja bersama adik lelaki dan adik saudara perempuannya berusia tiga dan lima tahun manakala ibunya sedang bekerja.

“Mangsa mengatakan suspek menjilat telinganya ketika sedang baring lalu memasukkan tangannya ke dalam seluar dan menyentuh luar kemaluan mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, kejadian yang menimpa mangsa itu diketahui ibu, 40, ketika berada di rumah mereka kira-kira jam 6 petang kelmarin, selepas mangsa menceritakan perbuatan suspek terbabit.

“Susulan itu ibu mangsa kemudian membuat laporan polis pada hari yang sama kejadian jam 8.16 malam.

“Bertindak atas laporan itu, sepasukan polis menahan suspek di jam 6.05 petang semalam,” katanya.

Menurutnya, suspek berusia 30 tahun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. -SabahNewsToday