Pilih Bahasa

Tukang kayu di China hasilkan basikal kayu

LANZHOU, 27 Ogos (Bernama) — Seorang tukang kayu di China, He Yong, 55, berjaya menghasilkan sebuah basikal yang diperbuat daripada kayu.

Berukuran 1.8 meter panjang dan setinggi satu meter, basikal itu diperbuat daripada kayu walnut dan elm.

Menurut agensi berita Xinhua, tukang kayu yang tinggal di wilayah Gansu itu mengambil masa lebih dua bulan untuk menyiapkan basikal tersebut. Setiap bahagian seperti pemegang, tempat duduk dan roda hingga ke sistem pemacu, semuanya diperbuat daripada kayu.

“Saya tidak menggunakan paku. Setiap bahagian disambungkan menggunakan kayu-kayu yang berbeza. Bagi saya, basikal itu adalah karya seni yang berfungsi,” kata He.

Mula berminat dalam bidang seni tukangan kayu sejak kecil dan duit yang sepatutnya digunakan untuk membeli buku teks, sebaliknya dibelanjakan membeli peralatan pertukangan.

Lantaran minat mendalam, meskipun dibantah keluarga, pada usia 14 tahun beliau mengambil keputusan tidak menyambung persekolahan, sebaliknya mempelajari bidang pertukangan kayu.

“Saya boleh membuat perabot ketika berusia 17 tahun. Idea untuk menghasilkan basikal kayu bermula pada akhir 2016.

“Saya seorang tukang kayu, saya ingin menunjukkan kepada dunia mengenai kemahiran tukang kayu dari China,” katanya.

He kini menjadi selebriti dalam talian, selepas rakaman mengenai perjalanannya dengan menggunakan basikal kayu sejauh 11 kilometer dimuat naik.

He berkata seorang pembeli dari negeri jiran Shaanxi berhasrat untuk membeli basikal tersebut dengan harga 30,000 yuan (kira-kira US$ 4,400), tetapi beliua menolak tawaran itu.

“Basikal itu umpama sahabat baik saya dan tidak akan menjualnya,” katanya yang menyimpan cita-cita menghasilkan basikal kayu yang lebih pantas berbanding biasa.

— BERNAMA