Pilih Bahasa

Tukang masak dan buruh ditahan memiliki dadah bernilai hampir RM90 ribu

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Dua lelaki ditahan dalam operasi berasingan di sekitar Kota Kinabalu dan jalan Tuaran-Manggatal kerana didakwa memiliki dadah dianggarkan bernilai RM100,000.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata bagi kes pertama melibatkan tangkapan seorang tukang masak berasal dari Sarawak berusia 24 tahun di Kampung Air di sini pada 12 Julai pada pukul 12.30 malam.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass (tiga kanan) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Sabah Superitendan Ahmad Jawilla (dua kanan) dan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji menunjukkan dadah yang berjaya dirampas pada sidang media di IPK Sabah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Kontinjen Sabah menahan suspek di pusat bandar dan merampas beg plastik hitam mengandungi paket minum tiga dalam satu (3 in 1) iaitu kopi dan teh.

“Pemeriksaan lanjut yang dilakukan mendapati beg plastik itu menyimpan serbuk dadah berbahaya seberak 1.746 gram serta ketamin dan 300 pil ekstasi masing-masing seberat 103.4 gram dan 97 gram,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen Sabah (IPK) Kepayan.

Lapan paket kecil bewarna hitam yang mengandungi dadah jenis syabu yang berjaya dirampas polis. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Zaini berkata kesemua dadah itu dianggarkan bernilai RM42,500 dan suspek dipercayai mendapat bekalan dari seorang kenalan di Miri, Sarawak yang dibawa masuk melalui pengangkutan udara untuk pasaran di Sabah.

Beliau berkata suspek juga diuji positif untuk dadah dan akan direman sehingga 18 Julai.

Katanya kes tersebut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Serbuk dadah yang dipercayai dadah berbahaya dibungkus dalam paket serbuk minuman berjaya dirampas polis. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Dalam kes kedua pula, Zaini berkata seorang buruh asing warga Filipina berusia 40-an ditangkap kerana disyaiki memiliki dadah bernilai kira-kira RM46,840.

“Lelaki itu ditahan dari di sebuah apartmen di Jalan Tuaran-Menggatal kira-kira pukul 6.45 petang pada 12 Julai lalu

“Kita percaya suspek mendapat bekalan dari Semporna dan dadah itu dipercayai untuk pasaran tempatan di sini,” katanya sambil menambah suspek akan ditahan sehingga 19 Julai.

Beliau berkata, kedua-dua suspek boleh menghadapi hukuman mati, atau penjara seumur hidup, dengan sebatan apabila disabitkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. – SabahNewsToday