Pilih Bahasa

Tulisan Jawi ت و (Ta’ Wau) dipersetujui bersama, tiada unsur perkauman

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Penggunaan huruf hijaiyah ‘ت و’ sebagai mercu tanda Tawau yang terletak di Jalan Pesisir Pantai sudah dipersetujui bersama antara Jabatan Landskap Negara (JLN) dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) sebelum dipasang.

Menurut jurucakap JLN, tidak timbul isu tulisan itu salah memandangkan dalam mesyuarat awal yang dilaksanakan sebelum ini dipersetujui semua pihak termasuk Presiden MPT ketika itu, Alijus Sipil.

Mercu tanda Tawau yang menggunakan huruf Hijaiyah ‘ت و’ kini menjadi tarikan kepada bukan sahaja pelancong luar malah penduduk setempat. Gambar SNT / Ihsan Media Sosial Facebook

“JLN sendiri sudah mengambil inisiatif dengan menghubungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mendapat kepastian sama ada penggunaan ‘ت و’ itu salah dari segi hukum agama.

“Dalam maklum balas yang diterima, JAKIM mengesahkan tidak salah (hukum agama) memandangkan ia digunakan dalam binaan mercu tanda sahaja selain meminta kami merujuk kepada Mufti Negeri Sabah dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berhubung ejaan berkenaan” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya lagi, reka bentuk mercu tanda itu dibuat secara ‘in house’ oleh arkitek JLN untuk mencari keunikan yang mampu menarik perhatian orang ramai khususnya pelancong.

“Pemilihan huruf ‘ت و’ adalah untuk memperkenalkan huruf jawi, selain tulisan penuh ‘TAWAU’ turut diletakkan di bahagian bawah arca bagi mengelakkan kekeliruan.

“Justeru, alasan kesalahan ejaan sehingga membawa kepada tindakan menukar tulisan berkenaan kepada logo kitar semula sebelum dicetak pada kalendar adalah kurang tepat,” katanya.

Tambahnya pihak MPT boleh menukar tulisan jawi pada mercu tanda berkenaan mengikut tulisan jawi yang tepat namun kos pengubahsuaian perlu ditanggung oleh pihak MPT.

Mengulas lanjut, dia turut kesal dengan tindakan pihak yang menukar mercu tanda itu dengan simbol ‘kitar semula’ di dalam poster kalendar ekoran kononnya ejaan tulisan jawi berkenaan salah.

“Sepatutnya isu ini tidak berlaku kerana proses menyiapkan mercu tanda berkenaan bukan dilakukan dalam tempoh sehari sahaja sebaliknya memerlukan masa dan komitmen sehingga tiga minggu,” ujarnya.

Terdahulu Parlimen Tawau menafikan tindakan menukar huruf ‘ت و’ kepada logo kitar semula pada lukisan arca di kalendar yang dikeluarkan pihaknya tahun ini mempunyai unsur negatif atau perkauman.

Mercu tanda ‘ت و’ (kiri) ditukar kepada logo kitar semula (kanan) yang digunakan dalam kalendar keluaran Pejabat Khidmat Parlimen Tawau. Gambar SNT / Ihsan laman sosial Facebook

Menerusi hantaran di Facebook Pusat Khidmat Parlimen Tawau (PKPT) menjelaskan idea menukar tulisan jawi itu diusulkan oleh Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Datuk Ir Amrullah Kamal.

“Pada 23 November tahun lalu, satu Kempen Gotong Royong Mega anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P190 Tawau bersama MPT dijalankan sekitar bandar daerah ini selain turut mengadakan pertandingan melukis dan mewarna untuk pelajar sekolah.

“Pemenang bagi setiap lukisan itu diberikan keistimewaan yang mana hasil kerja mereka akan dicetak pada poster kalendar yang dikeluarkan PKPT untuk tahun ini,” katanya.

Bagaimanapun, terdapat perubahan dilakukan membabitkan gambar arca Tawau yang membabitkan tulisan jawi.

“Tindakan menukar tulisan ‘ت و’ itu diusulkan selepas terdapat kesalahan ejaan dan sebutan.

“Atas usul dan syor daripada Presiden MPT, kami mengambil pendekatan untuk meletak logo kitar semula yang ada kaitan dengan kempen mega gotong-royong pada masa itu,” katanya.

Bagaimanapun, tindakan itu menarik perhatian netizen apabila gambar kalendar itu dimuat naik di laman sosial sehingga ada yang mempersoalkan integriti Parlimen Tawau terhadap tulisan berkenaan.

Jurucakap PKPT berkata pihaknya turut memohon maaf atas salah faham yang berlaku dan berharap pihak luar tidak menjadikan isu berkenaan sebagai modal untuk memecahbelahkan perpaduan.-SabahNewsToday