Pilih Bahasa

Tun Juhar sambut baik inisiatif kerajaan negeri realisasi pembangunan secara realistik

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Tun Juhar memeriksa perbarisan sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-15 di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin menyambut baik inisiatif kerajaan negeri untuk memastikan perancangan pembangunan di Sabah dapat direalisasikan secara strategik.

Tun Juhar yakin pelaksanaan inisiatif tersebut mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan awam di negeri ini selaku nadi utama dalam melaksanakan dasar dan aspirasi pembangunan kerajaan.

“Saya mengucapkan syabas kepada kerajaan yang diterajui Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) kerana telah mengambil inisiatif tersebut dalam memastikan perancangan pembangunan kerajaan terlaksana.

“Pelaksanaan pembangunan itu direalisasikan melalui penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) berlandaskan 10 Bidang Keberhasilan Negeri dan agensi masing-masing,” kata Tun Juhar semasa menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan Bersempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-15 di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Tun Juhar menyampaikan ucapan dasar sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-15 di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Tun Juhar berkata, 2018 merupakan tahun mencabar kerana Sabah tidak terkecuali berhadapan dengan cabaran ekonomi di peringkat nasional dan global termasuk kejatuhan harga komoditi utama seperti minyak sawit dan getah, penyusutan nilai ringgit dan lain-lain.

Sungguhpun demikian Tun Juhar memberitahu ekonomi Sabah pada 2018 telah mencatatkan imbangan perdagangan positif sebanyak RM26 bilion berbanding RM23 bilion pada 2017.

“Prestasi sektor perdagangan antarabangsa negeri Sabah yang membanggakan itu telah didorong oleh peningkatan dalam jumlah keseluruhan eksport Sabah pada 2018 yang telah mencecah RM56.6 bilion berbanding RM51.7 bilion dalam tempoh sama pada 2017,” kata beliau.

Beliau turut mengalu-alukan iltizam kerajaan untuk memastikan sektor pelancongan negeri kekal rancak dan berdaya saing dengan memfokuskan keindahan alam semulajadi dan warisan budaya sebagai aset utama pelancongan negeri ini.

Kata beliau lagi pada tahun ini kerajaan negeri meletakkan sasaran jumlah ketibaan pelancong ke Sabah seramai empat juga orang berbanding 3.8 juta orang pada 2018 dengan asaran ketibaan pelancong antarabangsa lebih seimbang dari China dan Eropah, Amerika Syarikat serta Oceania di samping pelancong domestik.

“Bagi mencapi sasaran ini kerajaan berusaha untuk meningkatkan aksesebiliti udara ke negeri ini dan mempelbagaikan lagi produk-produk pelancongan negeri di kawasan dan Pantai Timur Negeri Sabah,” kata beliau. – SabahNewsToday