Pilih Bahasa

TUNTUTAN FILIPINA KE ATAS SABAH – PEMUDA PAS SABAH PUJI KETEGASAN MAHATHIR

KOTA KINABALU: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) mengalu-alukan ketegasan tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu tuntutan Filipina ke atas negeri Sabah yang telah dibangkitkan sekian lama.

Ketua DPPNS Zulzaim Hilmee Abidin berkata kenyataan Tun Mahathir di Manila baru-baru ini bahawa isu tuntutan tidak akan dibangkitkan dalam pertemuan bersama Presiden Filipina, Rodrigo Duterte melegakan anak negeri Sabah.

Zulzaim Hilmee Abidin. Gambar SNT/Ihsan DPPNS

Perdana Menteri dilaporkan sebagai berkata bahawa tiada isu tuntutan Filipina ke atas Sabah oleh itu beliau tidak akan membangkitkan perkara tersebut apabila bertemu dengan Duterte.

Zulzaim berkata polemik berhubung isu tuntutan Filipina ke atas Sabah yang dimainkan oleh beberapa pihak sebelum ini adalah sesuatu tindakan tidak wajar.

“Ia berupaya mengancam keamanan negara dan mengeruhkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan dengan itu, katanya Dewan Pemuda Pas Sabah yang kesemuanya terdiri dari kalangan anak negeri Sabah dalam rangka mengukuhkan permuafakatan semangat federalisme dan kedudukan negeri Sabah di dalam Malaysia, menyokong ketegasan Perdana Menteri berhubung isu ini.

Justeru itu, beliau berkata Dewan Pemuda PAS Sabah melalui konsep budaya politik matang dan sejahtera akan terus memberi kebersamaan kepada semua pihak yang mengutamakan kebaikan dan kepentingan rakyat di negeri Sabah.-SabahNewsToday