Pilih Bahasa

Turun padang ke kawasan pedalaman jadi keutamaan SUP Sabah

KOTA KINABALU, 27 Jun (Bernama) — Pendekatan turun padang ke kawasan pedalaman menjadi keutamaan kepada Setiausaha Persekutuan (SUP) Sabah Datuk Samsuni Mohd Nor bagi mendekati dan memahami kehendak masyarakat di kawasan itu.

Menerusi pendekatan itu juga, katanya, dapat disampaikan dasar-dasar kerajaan persekutuan secara terus kepada masyarakat di kawasan pedalaman.

Samsuni bersama warga RTM Sabah. Gambar Bernama

Beliau akan mula ke kawasan pedalaman di negeri ini pada bulan depan bagi menjelaskan dasar kerajaan persekutuan dan mendengar sendiri harapan rakyat Sabah. 

“Memang dari dulu saya bukan hanya bekerja di dalam pejabat dan menerima kunjungan hormat tetapi sentiasa turun padang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Rakaman Rancangan Khas Salam Aidil Fitri RTM Sabah di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik) Nor Yahati Awang dan Pengarah Penyiaran Negeri Sabah Malinaziah Datu Mohd Julasbi.

Samsuni (tiga kanan) bergambar kenangan dengan pegawai tinggi Penyiaran. Gambar Bernama

Samsuni dilantik sebagai Setiausaha Persekutuan Sabah yang baharu sejak 17 Jun lepas menggantikan Nor Azri Zulfakar yang dilantik menjadi Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

Beliau sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Maklumat (CIO) dan Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Samsuni berkata ia juga merupakan hasrat Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dalam satu perjumpaan baru-baru ini yang mahu beliau mendekati dan memahami kehendak masyarakat di pedalaman negeri ini.

-Bernama